Arteta bangga dalam kecewa

JARINGAN penyamaan Gabriel Martinelli pada minit ke-93 berjaya menyelamatkan misi Arsenal memburu kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas hampir ditundukkan Manchester City.
The Gunners pada awalnya dilihat berdepan kekalahan kedua dalam lima perlawanan liga apabila Erling Haaland meletakkan City di depan menerusi serangan balas pantas.
Bagaimanapun, kemasukan Martinelli sebagai pemain gantian membuahkan hasil apabila penyerang Brazil itu menjaringkan gol buat kali kedua minggu ini untuk mengikat keputusan 1-1.
Namun, kedua-dua pasukan tetap tercicir mata berharga berbanding pendahulu liga, Liverpool.
Arsenal kini menghuni tangga kedua, lima mata di belakang juara bertahan manakala City ketinggalan lapan mata di kedudukan kesembilan.
"Saya harus katakan, saya sangat bangga dengan para pemain dan pasukan.
“Cara kami bermain, bagaimana kami menguasai hampir setiap aspek permainan, kecuali jaringan memang luar biasa. Sebagai jurulatih, saya tahu betapa sukarnya melakukan perkara itu menentang Manchester City. Sebab itu, kami sangat kecewa dengan keputusan perlawanan ini," kata pengendali Arsenal, Mikel Arteta.
Arsenal sebelum ini belum pernah dibolosi daripada permainan terbuka dalam lima aksi awal Liga Perdana dan Liga Juara-Juara, namun rekod itu akhirnya pecah seawal minit kesembilan hasil sentuhan penyerang paling berbisa dunia ketika ini.
Haaland memulakan gerakan dari kawasan sendiri sebelum menerima hantaran Tijjani Reijnders dan menyempurnakan peluang dengan tenang menewaskan David Raya. Penyerang Norway itu kini sudah mengumpul 13 gol dalam hanya lapan perlawanan bersama kelab dan negaranya musim ini.
Benteng City turut beraksi cemerlang dengan kehadiran penjaga gol Itali, Gianluigi Donnarumma yang menafikan percubaan deras Noni Madueke menjadi peluang terbaik Arsenal pada separuh masa pertama.
Arteta kemudian membawa masuk Bukayo Saka dan Eberechi Eze untuk mengubah rentak permainan pada babak kedua. Eze turut menguji Donnarumma, namun barisan pertahanan City kekal ampuh selepas Pep Guardiola sanggup mengorbankan Haaland dan Phil Foden bagi mengukuhkan benteng.
Namun, percaturan itu memakan diri apabila Martinelli pantas menyambar lorongan Eze sebelum melambungkan bola cantik menewaskan Donnarumma pada penghujung perlawanan.
“Kami tidak berniat bermain begitu, tetapi apabila lawan lebih baik, kami perlu bertahan lebih dalam dan bergantung pada serangan balas,” ujar Guardiola.
Ringkasan AI
- Jaringan penyamaan Gabriel Martinelli pada minit ke-93 menyelamatkan Arsenal dalam usaha memburu kejuaraan EPL
- Erling Haaland meletakkan City di depan dengan gol menerusi serangan balas pantas
- Martinelli, sebagai pemain gantian, menjaringkan gol kedua minggu ini mengikat keputusan 1-1
- Keduanya tercicir mata berharga, Arsenal kini di tangga kedua, lima mata di belakang Liverpool, City di kedudukan kesembilan
- Rekod Arsenal tidak dibolosi dari permainan terbuka pecah hasil sentuhan Haaland
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
