Belanjawan 2026: Sokong tambah bajet kesihatan

SETIAP kali Oktober, pembentangan belanjawan negara pasti dinantikan rakyat kerana ia menentukan hala tuju pembangunan dan keperluan sektor awam.
Antara aspek yang perlu diberikan perhatian adalah bajet pada sektor kesihatan.
Bajet kesihatan perlu ditambah kerana ia berkait rapat dengan kesejahteraan rakyat, keberkesanan sistem penjagaan kesihatan serta memastikan petugas kesihatan dapat berkhidmat dengan optimum.
Cadangan Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan) Kementerian Kesihatan, Datuk Seri Zahrul Hakim wajar diberikan perhatian dan disokong penuh.
Antara cadangan yang dikemukakan termasuklah peruntukan tambahan untuk meningkatkan fasiliti di wad Kelas 3 serta pemberian elaun tambahan kepada petugas kesihatan di kawasan pedalaman termasuk pegawai perubatan, penolong pegawai perubatan dan jururawat.
Sebagai akhbar suara rakyat yang lebih memahami permintaan rakyat, bajet kesihatan perlu ditambah atas beberapa sebab.
Pertama, kos rawatan perubatan yang meningkat setiap tahun menuntut penambahan peruntukan bagi membolehkan hospital dan klinik menampung kos ubat-ubatan, peralatan perubatan dan rawatan pesakit kronik.
Tanpa peruntukan tambahan, rakyat terpaksa menanggung belanja tinggi untuk rawatan terbaik, yang mana tidak semua mampu.
Kedua, peningkatan fasiliti dan kelengkapan perubatan di hospital awam akan memastikan semua rakyat tidak kira golongan berpendapatan tinggi atau rendah mendapat akses rawatan berkualiti tanpa sebarang diskriminasi.
Ketiga, petugas kesihatan juga adalah manusia biasa. Dengan beban kerja semakin meningkat, insentif dan elaun tambahan wajar dipertimbangkan supaya mereka kekal bermotivasi, khususnya di kawasan pedalaman yang sering berdepan cabaran dari segi kemudahan dan infrastruktur.
Dengan kos semasa dan kesihatan yang semakin meningkat, bukan semua orang mampu menanggung perbelanjaan rawatan sendiri.
Justeru, penambahan bajet kesihatan bukan sahaja salah satu langkah strategik untuk memperkukuh sistem kesihatan negara, tetapi juga tanggungjawab kerajaan untuk memastikan kesejahteraan rakyat terpelihara.
Langkah ini akan memberi manfaat jangka panjang kepada semua lapisan masyarakat, mengurangkan beban kewangan isi rumah dan memperkukuh sistem kesihatan agar negara sentiasa bersedia menghadapi cabaran kesihatan masa depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
