Belanjawan reformis menjelang PRU16

Aimi Zulhazmi
Aimi Zulhazmi
A
A
A

SHAH ALAM – Belanjawan 2026 yang dijadual dibentangkan di Dewan Rakyat pada 10 Oktober depan dijangka mencecah sehingga RM450 bilion, lebih tinggi berbanding peruntukan sebanyak RM421 bilion pada tahun ini yang merupakan bajet terbesar dalam sejarah negara.

Penganalisis Ekonomi dari UniKL Business School, Profesor Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, peningkatan tersebut selari dengan usaha kerajaan memastikan ekonomi negara mengekalkan momentum positif, meskipun cabaran luar dijangka semakin ketara.

Menurutnya, pasaran eksport Malaysia pada tahun depan akan lebih mencabar, khususnya akibat tarif baharu yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) serta kelembapan ekonomi negara itu yang memberi kesan langsung kepada perdagangan dunia.

“Kerajaan perlu mengimbangi cabaran global ini dengan dasar fiskal yang terus menyokong pertumbuhan ekonomi domestik, termasuk meneruskan pelbagai peruntukan yang dapat merancakkan aktiviti ekonomi.

“Dalam mencapai pertumbuhan positif ekonomi domestik, dasar fiskal kerajaan dijangka dikekalkan dan peruntukan akan terus bertambah.

“Saya berpandangan bahawa sasaran kerajaan untuk menurunkan defisit fiskal di bawah 4.5 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) masih boleh dicapai biarpun berdepan tekanan kos subsidi yang tinggi, hutang kerajaan yang semakin meningkat serta tuntutan rakyat yang bertambah,” katanya kepada Sinar Harian.

Aimi Zulhazmi menambah, faktor kecairan tunai dalam pasaran modal tempatan juga dijangka terus dipertingkatkan, malah beliau tidak menolak kemungkinan Bank Negara Malaysia (BNM) menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 0.25 peratus pada tahun depan.

“Langkah ini akan membantu meningkatkan perbelanjaan pengguna dan perniagaan, selain merancakkan pelaburan domestik swasta (DDI) dalam pelbagai sektor termasuk pelancongan, kewangan, borong dan runcit, logistik serta pengangkutan,” ujarnya.

Beliau berkata, pelaksanaan subsidi bersasar pada tahun depan juga dijangka memberi kesan positif terhadap perbelanjaan kerajaan dan penjimatan daripada subsidi pukal boleh disalurkan dengan lebih berkesan bagi membantu rakyat yang benar-benar memerlukan.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Aimi Zulhazmi berkata, rakyat boleh menilai sama ada Belanjawan 2026 berbentuk ‘populis’ atau ‘reformis’ dengan melihat beberapa petunjuk awal yang terkandung dalam pembentangan nanti.

Beliau menjelaskan, antara petunjuk penting ialah peningkatan hasil kutipan cukai melalui pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang dijangka memberikan dorongan atau momentum kepada pendapatan kerajaan untuk tahun 2026.

“Belanjawan 2026 juga mengambil kira kemungkinan berlangsungnya Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), namun ia masih berorientasikan kepada reformasi kerana dasar-dasar besar yang diperkenalkan pada Belanjawan 2025 akan mula dilaksanakan sepenuhnya pada tahun depan.

“Pendekatan ini menunjukkan kerajaan berusaha mengekalkan keseimbangan antara memberi bantuan segera kepada rakyat serta melaksanakan dasar struktur jangka panjang untuk kestabilan ekonomi negara,” jelasnya.

Ringkasan AI

  • Belanjawan 2026 dianggarkan mencapai RM450 bilion, meningkat dari RM421 bilion tahun ini
  • Peningkatan belanjawan selaras dengan usaha memastikan ekonomi negara kekal positif
  • Cabaran ekonomi luar seperti tarif AS dijangka mempengaruhi pasaran eksport Malaysia
  • Sasaran kerajaan untuk menurunkan defisit fiskal di bawah 4.5% KDNK masih dicapai
  • Pelaksanaan subsidi bersasar dijangka memberi kesan positif terhadap perbelanjaan kerajaan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!