KPKT cadang elaun tahunan bomba sukarela dinaikkan kepada RM10,000

SEPANG – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mencadangkan elaun tahunan kepada Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dinaikkan kepada RM10,000 setahun berbanding RM5,000 ketika ini.
Timbalan Menterinya, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, elaun itu sebelum ini hanya RM3,000 setahun, kemudian dinaikkan kepada RM5,000 dan kini pihaknya berharap cadangan tambahan peruntukan itu dapat dipertimbangkan dalam Belanjawan 2026.
“PBS memainkan peranan besar dalam membantu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) khususnya di kawasan komuniti.
“Justeru, elaun mereka wajar ditambah selaras dengan sumbangan serta komitmen diberikan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Taman Rekreasi Kenderaan di Pantai Bagan Lalang di sini pada Ahad.
Menurut beliau, sehingga kini terdapat lebih 300 PBS di seluruh negara dengan sebahagian besarnya aktif membantu JBPM dalam tugas menyelamat dan kawalan keselamatan komuniti.
Aiman Athirah memberitahu, KPKT sudah mengemukakan cadangan itu kepada Kementerian Kewangan sebagai sebahagian daripada 13 inisiatif yang dibawa untuk Belanjawan 2026.
Beliau menjelaskan, selain meneruskan projek sedia ada, KPKT turut memohon tambahan peruntukan kira-kira RM1 bilion berbanding RM4 bilion yang diterima sebelum ini.
“KPKT menguruskan hampir 70 peratus penduduk negara yang berpusat di bandar, maka keperluan bajet lebih besar amat penting,” tambahnya.
Pada 5 September lalu, Menteri KPKT, Nga Kor Ming memaklumkan kementeriannya mengemukakan 13 cadangan inisiatif utama kepada Kementerian Kewangan sebagai persediaan Belanjawan 2026 yang bakal dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 10 Oktober ini.
Antara inisiatif itu adalah di bawah Kesejahteraan Madani iaitu permohonan peruntukan sebanyak RM1 bilion bagi melaksanakan 10,000 projek kemudahan awam asas sepanjang 2026, termasuk Taman Madani, pasar awam, dewan orang ramai, sistem perparitan di kawasan perumahan serta pemasangan lampu jalan solar.
Ringkasan AI
- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan mencadangkan elaun tahunan Pasukan Bomba Sukarela dinaikkan kepada RM10,000
- Timbalan Menteri, Datuk Aiman Athirah Sabu berharap cadangan ini dipertimbangkan dalam Belanjawan 2026
- Pasukan Bomba Sukarela memainkan peranan besar dalam membantu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di komuniti
- Terdapat lebih 300 pasukan di seluruh negara yang aktif membantu dalam tugas menyelamat dan kawalan keselamatan komuniti
- Cadangan untuk menambah elaun ini adalah sebahagian daripada 13 inisiatif yang dibawa untuk Belanjawan 2026
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

