Teknologi hijau bersihkan Sungai Klang

KLANG – Usaha membersihkan Sungai Klang diperkasakan dengan pelancaran fasiliti baharu bagi menapis dan mengasingkan sisa buangan hasil kerjasama The Ocean Cleanup, Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB), Yayasan J&K Wonderland dan Coca-Cola Malaysia.
Majlis pelancaran disempurnakan Datuk Bandar Majlis Bandar Diraja Klang (MBDK), Datuk Abd Hamid Hussain dan disaksikan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Datuk Dr Ching Thoo, sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan projek itu dalam memperkukuh pengurusan sisa serta kelestarian alam sekitar pada Julai lalu.
Fasiliti berkenaan akan memproses sisa dikumpulkan menggunakan teknologi Interceptor 002 The Ocean Cleanup digerakkan tenaga suria selain sistem penghalang kayu balak (log boom) yang direka bagi menahan sampah sebelum sampai ke laut.
Sehingga kini, kedua-dua mesin itu berjaya mengeluarkan hampir 3,000 tan sisa dari Sungai Klang, sekali gus membantu mengembalikan keseimbangan ekologi salah satu sungai utama negara.
Dengan sokongan kewangan Coca-Cola Malaysia dan Yayasan J&K Wonderland serta kepimpinan pelaksanaan LLSB, fasiliti itu turut menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.
Selain itu, projek berkenaan turut meneroka aplikasi baharu untuk bahan terpakai dengan kerjasama CNH Industrial dan Orca Cika Malaysia bagi menghasilkan produk alternatif seperti bahan binaan, granule dan pelet sejajar dengan komitmen terhadap ekonomi kitaran dan inovasi.

Pengarah Sungai di The Ocean Cleanup, Marco Pièt, berkata fasiliti itu akan meningkatkan kecekapan pengurusan sampah daripada memasuki laut.
“Bekerjasama dengan rakan kongsi kami, fasiliti baharu ini membantu merealisasikan misi menghapuskan 90 peratus pencemaran plastik terapung di lautan,” katanya.
Pengarah Urusan LLSB, Syaiful Azmen Nordin, pula menegaskan kesihatan Sungai Klang adalah tanggungjawab bersama.
“Fasiliti ini membuktikan apa yang boleh dicapai apabila pelbagai pihak berganding bahu,” katanya.
Pengarah Kanan Operasi Francais The Coca-Cola Company, Singapura, Malaysia & Brunei, Amanda Lin berkata, usaha di Sungai Klang itu sebahagian komitmen lebih luas syarikat di Asia Tenggara.
Ringkasan AI
- Usaha membersihkan Sungai Klang diperkasakan dengan pelancaran fasiliti baharu oleh The Ocean Cleanup, LLSB, Yayasan J&K Wonderland dan Coca-Cola Malaysia
- Fasiliti menggunakan teknologi Interceptor 002 The Ocean Cleanup dan sistem penghalang untuk menapis sisa
- Hampir 3,000 tan sisa telah dikeluarkan dari Sungai Klang melalui teknologi ini
- Projek ini menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat dan meneroka aplikasi baharu untuk bahan terpakai
- Misi fasiliti adalah meningkatkan pengurusan sampah dan menghapuskan 90 peratus pencemaran plastik terapung di lautan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

