[VIDEO] 'Pemaju Kampung Sungai Baru asal Klang, bukan Singapura' - Penduduk

A
A
A

BANGSAR - Syarikat pemaju projek pembangunan Kampung Sungai Baru adalah milik warga tempatan, bukannya Singapura seperti dakwaan yang tular sejak akhir-akhir ini.

Perkara itu disahkan majoriti penduduk Kampung Sungai Baru yang menandatangani persetujuan usaha sama (JV) dengan pemaju, KL City Gateway (KLCG).

Pengerusi Persatuan Pemilik Hartanah dan Kebajikan Kampung Sungai Baru, Sanita Yunus berkata, pihaknya hairan apabila timbul naratif buruk dan permainan persepsi yang mengatakan pemaju projek pembangunan itu berasal dari Singapura.

“Kami pun tidak tahu dari mana timbul dakwaan dan naratif sebegini. Kasihan pemaju asal Klang ini penat melabur, tiba-tiba Singapura pula dapat nama.

“Jadi, kami boleh mengesahkan tiada penglibatan mana-mana pihak dari Singapura. Pemilik syarikat pemaju adalah warga tempatan asal Klang.

“Kesemua prosedur mengikut lunas undang-undang yang betul oleh mahkamah dengan penglibatan peguam dan persetujuan penduduk,” katanya.

Sanita ketika sidang media penduduk Kampung Sungai Baru pada Ahad. Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
Sanita ketika sidang media penduduk Kampung Sungai Baru pada Ahad. Foto Sinar Harian ROSLI TALIB

Beliau berkata demikian ketika sidang media penduduk Kampung Sungai Baru di sini pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, tular dakwaan di media sosial dibuat pempengaruh dan bekas pelakon, Rafidah Ibrahim yang mengatakan projek pembangunan Kampung Sungai Baru didalangi pemilik dari Singapura.

Dakwaan itu dibuat menerusi satu rakaman video selepas insiden kekecohan pada 11 September lalu apabila sekumpulan penduduk enggan memberi kerjasama dalam operasi pengosongan Kampung Sungai Baru.

Perkara itu kemudian menimbulkan kekecohan dan kekeliruan terutama dalam kalangan pengguna media sosial.

Dalam pada itu, Sanita turut memaklumkan jumlah pemilik yang menandatangani perjanjian usaha sama seramai 238 orang, termasuk 13 yang sebelum ini menolak tetapi berpatah balik dan memulangkan wang pampasan kepada pemaju.

Katanya, 13 pemilik unit tersebut mula menyedari inisiatif pemaju membangunkan Kampung Sungai Baru dengan imej lebih segar adalah tindakan positif dan mampu memuaskan hati banyak pihak.

“Sejujurnya, kami pada mulanya agak kecewa kerana mereka tiba-tiba berpatah balik dan bersetuju, seolah-olah cuba melewatkan projek. Namun, kami tetap terima.

“Baki 24 pemilik unit kediaman tidak bersetuju dan mereka menerima pampasan,” ujarnya.

Sanita turut menjelaskan sekali lagi bahawa penduduk akan kembali ke Kampung Sungai Baru sebaik sahaja projek siap dibangunkan, dijangka selesai dalam tempoh tiga tahun.

“Sepatutnya kalau tidak timbul kekecohan dan kes mahkamah yang berpanjangan, penduduk sudah boleh masuk ke rumah masing-masing tahun lepas.

“Mereka yang sebelum ini tinggal di rumah satu bilik kini bakal menetap dalam kediaman lebih selesa, dua hingga tiga bilik dengan keluasan 969 hingga 1,200 kaki persegi.

“Selain itu, saya ingin jelaskan sepanjang sembilan tahun mereka tinggal di rumah transit, semuanya ditanggung, mereka duduk percuma sahaja,” katanya.

Jelasnya lagi, kemelut berpanjangan itu tidak mungkin dapat diselesaikan tanpa penglibatan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, serta gesaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahukan kesejahteraan penduduk Kampung Sungai Baru.

Ringkasan AI

  • Syarikat pemaju projek Kampung Sungai Baru adalah milik warga tempatan dari Klang, bukan Singapura
  • Penduduk Kampung Sungai Baru menandatangani persetujuan JV dengan pemaju KLCG, membuktikan sokongan mereka terhadap projek tersebut
  • Dakwaan di media sosial yang mengaitkan pemaju dengan Singapura adalah tidak benar dan telah menimbulkan kekeliruan
  • Penduduk akan kembali ke Kampung Sungai Baru dengan kediaman yang lebih selesa setelah projek selesai dalam tempoh tiga tahun
  • Penyelesaian kemelut pembangunan Kampung Sungai Baru melibatkan penglibatan Menteri Wilayah Persekutuan dan gesaan Perdana Menteri untuk kesejahteraan penduduk

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!