Wajar atau tidak umum nama calon PM lebih awal

Menamakan calon perdana menteri awal membuktikan sesebuah parti itu mempunyai tokoh yang prolifik. Gambar kecil dari kiri, Muhammad Aliff, Ariff, Miza Aryani dan Siti Aishah.
Menamakan calon perdana menteri awal membuktikan sesebuah parti itu mempunyai tokoh yang prolifik. Gambar kecil dari kiri, Muhammad Aliff, Ariff, Miza Aryani dan Siti Aishah.
A
A
A

PERHIMPUNAN Agung Tahunan (PAT) ke-8 Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 7 September lalu lebih awal mengumumkan calon perdana menteri mewakili parti berkenaan iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Terbaharu, Dewan Pemuda Pas ketika Muktamar Dewan Pemuda Pas Pusat di Kompleks Pas Kedah di Kota Sarang Semut pula membawa usul supaya calon perdana menteri datang daripada parti itu.

Pihaknya turut menyatakan sokongan penuh bahawa calon perdana menteri daripada Pas mesti berusia di bawah 70 tahun.

Disebabkan kebelakangan ini heboh isu siapa yang bakal menerajui negara sebaik memenangi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), timbul persoalan sama ada wajar atau tidak menamakan calon perdana menteri lebih awal?

SOKONG

Pengundi mahukan kepastian

“Bagi saya, tidak ada salahnya pun kalau sesebuah parti politik mengumumkan calon perdana menteri lebih awal sebelum Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Pengundi sudah semestinya mahukan kepastian adakah calon tersebut benar-benar berkaliber, memiliki karisma, adil dan mampu memegang jawatan ketua kerajaan.

Nama calon perdana menteri yang popular, berkarisma atau berpengalaman boleh jadi aset besar kepada kempen pilihan raya sekali gus menambah sokongan pengundi.

Artikel Berkaitan:

Jika parti tidak jelas siapa calon dibawa, pengundi mungkin ragu-ragu lebih-lebih lagi golongan atas pagar. Mereka nak lihat individu berdasarkan prestasi dan latar belakang membanggakan.

Bila tahu calon perdana menteri, mudah untuk pengundi bayangkan hala tuju dan dasar yang bakal diketengahkan sebaik dilantik memegang jawatan utama itu.

Bukan apa selepas beberapa siri pilihan raya sebelum ini, rakyat mahukan ketelusan kerana bimbang isu lompat parti dan kejadian kerap tukar perdana menteri berulang lagi.

Jadi, tindakan mengumumkannya lebih awal adalah pendekatan strategik yang bernas supaya rakyat boleh menilai dan memerhati tindak-tanduk calon tersebut sebelum mengundi.”

- Kakitangan agensi kerajaan negeri, Muhammad Aliff Ali, 33 tahun

Bukti parti ada tokoh bersedia jadi PM

“Saya fikir wajar kerana poster boy wajib dinamakan, membuktikan parti ada tokoh yang bersedia diangkat sebagai perdana menteri.

Rakyat juga berhak tahu lebih awal siapa yang dicalonkan memandangkan PRU16 bakal diadakan sekitar dua tahun lagi.

Ini memudahkan rakyat meneliti segala janji atau manifesto lama untuk dituntut dan ditunaikan oleh parti politik yang memenangi majoriti di pilihan raya nanti.

Calon perdana menteri mesti menjadi simbol kepimpinan dan contoh teladan yang baik serta boleh menunaikan permintaan rakyat yang memangkahnya.

Kalau daripada awal tidak mampu meyakinkan orang ramai, agak susah untuk rakyat membuang undi dan memilih individu berkenaan.

Selain itu, pengumuman nama calon lebih awal boleh mengelakkan spekulasi berpanjangan dan perebutan kuasa selepas pilihan raya kerana khuatir wujud ‘kem’ dalam parti atau ada rasa tidak puas hati sesama sendiri.

Kalau umum awal, parti boleh fokus kepada kempen berbanding memikirkan isu-isu berbangkit contohnya pertelagahan gara-gara tidak setuju dengan pengumuman nama calon.

Saya fikir imej calon dipilih boleh dijadikan naratif untuk menambat hati dan minat pengundi, terutamanya generasi muda kerana first impression sangat penting dalam menilai seseorang.”

- Eksekutif pemasaran, Ariff Fadilah, 28 tahun

BANGKANG

Peribadi calon PM berisiko diserang

“Pada pendapat saya, tidak terlalu molek jika nama calon perdana menteri diumum terlalu awal kerana bimbang ada pihak dalam parti tidak berpuas hati dan cuba mensabotaj kempen pilihan raya secara senyap-senyap.

Keperibadian calon juga berisiko diserang habis-habisan oleh lawan parti politik, ada yang mungkin membangkitkan isu lama atau skandal yang pernah mengaitkan namanya.

Boleh jadi fokus kempen pilihan raya bertukar kepada perbalahan masalah peribadi, bukannya mahu bincang dasar parti atau agenda rakyat yang sepatutnya menjadi keutamaan.

Macam yang orang-orang lama pernah cakap, ‘dunia politik ini kotor’ dan ayat itu masih meniti di bibir masyarakat sehingga ke hari ini.

Selain itu, tiada keperluan menamakan calon perdana menteri terlalu awal kerana situasi politik selepas pilihan raya umum sukar dijangka.

Lihat sahaja kejadian sebelum ini, parti yang menang sukar memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan sehingga memerlukan cadangan pembentukan kerajaan campuran dengan parti lain.

Kalau parti terlalu terikat dengan seorang calon perdana menteri sahaja dan tidak mahu perubahan, rundingan gabungan mungkin lebih sukar dibuat.

Belum lagi termasuk isu pertembungan tokoh senior antara parti, penyokong pasti mencari 1,001 cara untuk memastikan individu dipilih memegang jawatan utama.”

- Miza Aryani Misran, 27 tahun

Timbul pergolakan dalam gabungan parti

“Menamakan calon perdana menteri lebih awal mungkin langkah yang bagus, tetapi ini tidak menolak andaian sekiranya calon berpotensi lain terabai.

Bukan itu sahaja, saya rasa mengumumkan nama seseorang terlalu awal seolah-olah menutup ruang buat tokoh lain yang mungkin lebih berwibawa untuk menyerlah di hadapan khalayak umum.

Ini boleh menyebabkan bakat dalam parti tidak digilap, malah menimbulkan rasa terpinggir sedangkan mereka juga layak memegang jawatan tinggi kalau diberi peluang.

Jadi pengalihan isu pula kalau perkara ini dijadikan topik perbincangan terlalu lama sehinggakan masalah rakyat diabaikan dan tidak menjadi keutamaan pemimpin.

Selain itu, jika satu parti umum calon perdana menteri, parti lain dalam komponen atau gabungan mungkin tidak setuju dengan cadangan nama tersebut, perkara ini perlu diambil kira.

Walaupun calon PM diumum, jika parti gagal meraih kerusi mencukupi dalam pilihan raya nanti, individu berkenaan tetap tidak boleh dilantik.

Ini boleh menimbulkan pandangan sinis dalam kalangan rakyat bahawa parti tersebut tidak realistik atau sekadar bermain politik persepsi.

Satu hal lagi, sekiranya Yang di-Pertuan Agong tidak sudi memperkenankan nama yang diusul, susah juga.”

- Pekerja swasta, Siti Aishah Ahmad Radzuanuddin, 30 tahun

 

Ringkasan AI

  • Perhimpunan Agung Tahunan ke-8 Parti Pribumi Bersatu Malaysia mengumumkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon perdana menteri
  • Dewan Pemuda Pas mengusulkan calon perdana menteri daripada partinya yang berusia di bawah 70 tahun
  • Keperluan pengumuman calon perdana menteri lebih awal dilihat sebagai pendekatan strategik yang bernas untuk membolehkan pengundi menilai calon
  • Pengumuman awal boleh mengelak perebutan kuasa dan spekulasi dalam parti pasca-pilihan raya
  • Namun, pengumuman awal berisiko menimbulkan pertembungan dalam parti dan gabungan, serta mengundang serangan dari lawan politik

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!