Open DC raih Anugerah Fast Enterprise di APEA 2025

SHAH ALAM – Open DC, penyedia pusat data dan perkhidmatan sewaan ruang peralatan telekomunikasi (co-location) berjaya meraih Anugerah Fast Enterprise pada Asia Pacific Enterprise Awards (APEA) 2025 Malaysia yang dianjurkan oleh Enterprise Asia.
Pengarah Urusannya, Weng Yew Wong berkata, anugerah berprestij ini mengiktiraf visi syarikat dalam mencorakkan ekosistem kesalinghubungan yang menjadikan Malaysia sebagai hab digital utama Asia Tenggara.

“Sebagai peneraju dalam infrastruktur pusat data hab telekomunikasi, Open DC komited untuk menzahirkan visi ini melalui dua kemudahan utama. Kedua-dua pusat data itu akan memperkukuh aspek kesalinghubungan digital di serata Malaysia.
“Pusat data berkenaan ialah JB1 di Johor Bahru dan D8-1 yang sedang dibangunkan dalam Zon Ekonomi Sempadan Khas Kedah di Delapan, Bukit Kayu Hitam,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Tambahnya, pengiktirafan itu mengukuhkan impian mereka untuk membina Malaysia sebagai negara terhubung menerusi pusat data JB1 dan D8-1 sebagai hab telekomunikasi yang menggabungkan sektor perniagaan dan masyarakat.
“Dari Johor ke Kedah, kami akan membina masa depan digital tanpa sempadan. Pusat data ini menjadi tunjang kepada ekosistem kesalinghubungan Malaysia dengan menyediakan infrastruktur berprestasi tinggi yang boleh dikembangkan untuk kegunaan teknologi baharu.
“Ia juga boleh digunakan untuk kecerdasan buatan (AI), teknologi pengkomputeran awan dan teknologi kewangan (fintech),” ujarnya.
Menurut beliau, pusat data JB1 di Johor Bahru memanfaatkan kedudukannya yang dekat dengan Singapura dengan menawarkan kadar kependaman kurang daripada satu milisaat melalui Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
“Kedudukan strategik itu sekali gus menjadikan Johor sebagai gerbang digital serantau. Selain itu, pusat data D8-1 yang bakal dilancarkan di Delapan, Kedah akan mengukuhkan koridor kesalinghubungan utara Malaysia.
“Ia akan menyepadukan rangkaian gentian berkapasiti tinggi bagi menyokong aliran data rentas sempadan ke Thailand, sekali gus menghubungkan Malaysia ke rangkaian digital serantau dengan lebih kukuh,” ujarnya.
Yew Wong berkata, dengan mengutamakan reka bentuk cekap tenaga, Open DC memastikan kelestarian kekal sebagai teras utama dalam misi memperkukuh aspek kesalinghubungan serantau.
“Berpaksikan jati diri Malaysia yang teguh dan visi berani untuk memberi impak serantau, Open DC menjalinkan kerjasama dengan syarikat telekomunikasi global, penyedia teknologi awan dan penginovasi teknologi bagi memperkasakan infrastruktur digital negara.
“Anugerah Fast Enterprise APEA 2025 pula menjadi detik penting dalam misi kami untuk mentakrifkan semula aspek kesalinghubungan serta memupuk ekosistem telekomunikasi mampan yang menjadi pemangkin peluang dan inovasi tanpa batasan,” katanya.
Ringkasan AI
- Open DC meraih Anugerah Fast Enterprise pada APEA 2025 Malaysia, mengiktiraf visi syarikat sebagai hab digital utama Asia Tenggara
- Mempunyai dua kemudahan utama, JB1 di Johor Bahru dan D8-1 di Kedah, yang memperkuat kesalinghubungan digital di Malaysia
- JB1 menawarkan kependaman kurang dari satu milisaat berkat kedudukan dekat dengan Singapura, menjadikan Johor gerbang digital serantau
- Pusat data D8-1 akan mengukuhkan koridor kesalinghubungan utara Malaysia dan menyepadukan rangkaian ke Thailand, menghubungkan Malaysia ke rangkaian digital serantau
- Open DC mengutamakan reka bentuk cekap tenaga, menjadikan kelestarian sebagai teras dalam memperkuat kesalinghubungan serantau
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
