Penantian 15 tahun berakhir, lampu solar terangi laluan berisiko di Rawang

Penduduk Rawang lega selepas 15 tahun menanti apabila kerajaan lulus RM100,000 untuk pemasangan lampu solar.
Penduduk Rawang lega selepas 15 tahun menanti apabila kerajaan lulus RM100,000 untuk pemasangan lampu solar.
A
A
A

RAWANG - Penantian lebih 15 tahun penduduk sekitar Jalan Persekutuan FT01 dari Kilometer 415.43 ke Kilometer 416.42, Jalan Kuala Lumpur – Tanjung Malim di sini untuk kemudahan lampu jalan akhirnya terjawab apabila kerajaan memperuntukkan dana sebanyak RM100,000 bagi pemasangan lampu solar di kawasan itu.

Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen berkata, peruntukan berkenaan adalah hasil rayuan berterusan penduduk yang amat memerlukan kemudahan pencahayaan bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya.

"Setiap lampu menelan kos RM10,000 dan penggunaan lampu solar dipilih memandangkan ia lebih mesra alam serta menjimatkan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Rabu.

Menurut beliau, pelaksanaan projek itu adalah bukti keprihatinan Kerajaan Madani dan kerajaan Selangor terhadap keperluan rakyat, khususnya melibatkan aspek keselamatan jalan raya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang, Chua Wei Kiat memaklumkan bahawa daripada jumlah keseluruhan peruntukan tersebut, sebanyak sembilan unit lampu solar dipasang di kawasan Batu 16, iaitu laluan utama yang menghubungkan Selayang ke Rawang.

"Walaupun peruntukan hanya RM100,000 dan tidak mencukupi untuk merangkumi keseluruhan kawasan Rawang yang luas, pemasangan lampu di lokasi ini amat penting kerana ia merupakan kawasan berisiko tinggi kemalangan,” jelasnya.

Wei Kiat turut menjelaskan bahawa pelaksanaan projek ini mengambil sedikit masa disebabkan beberapa masalah teknikal, namun kerajaan negeri dan Persekutuan sepakat memilih pendekatan lampu solar sebagai langkah jangka panjang yang lebih berkesan.

"Ini merupakan satu permulaan yang baik dan kita akan terus berusaha memastikan lebih banyak kemudahan seumpama ini diperoleh rakyat pada masa akan datang,” katanya.

Turut hadir semasa tinjauan kerja pemasangan lampu berkenaan ialah Ahli Majlis Perbandaran Selayang Zon 14, Sulaiman Abu Samah, yang menyatakan komitmen pihak berkuasa tempatan dalam memantau keberkesanan kemudahan tersebut demi keselamatan komuniti setempat.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!