Isu tekanan air rendah di Felda Sungai Retang berakhir

JERANTUT – Masalah tekanan air rendah yang membelenggu lebih 3,500 penduduk Felda Sungai Retang sejak beberapa tahun lalu khususnya ketika musim perayaan, kini berakhir selepas projek tangki simpanan air baharu bernilai RM8.4 juta mula beroperasi sepenuhnya beberapa bulan lalu.
Projek naik taraf sistem bekalan air yang siap pada Disember lalu itu melibatkan pembinaan dua tangki utama dengan kapasiti keseluruhan tiga juta liter, rumah pam dan pemasangan paip sepanjang 5.8 kilometer.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan Pahang, Haris Salleh Hamzah berkata, projek berkenaan adalah hasil keprihatinan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bagi menyelesaikan isu yang lama dihadapi penduduk.
Menurutnya, inisiatif tersebut turut mendapat kerjasama pelbagai pihak termasuk bekas Exco Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Pahang, Datuk Nazri Ngah.
“Dulu kita cuba selesaikan sementara dengan pindahkan ‘inline pump’ ke loji pada 2020, tapi itu bukan penyelesaian jangka panjang. Projek ini akhirnya dibawa ke FIC dan dibiayai sepenuhnya oleh FIC Integrated Property Management,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Program Ziarah Kasih di Felda Sungai Retang pada Jumaat sambil turut melawat tapak projek berkenaan.
Tambah Haris, projek itu adalah sebahagian daripada pelan menyeluruh kerajaan negeri bagi menyelesaikan 90 peratus isu bekalan air di Pahang menjelang 2026.
Sementara itu, penduduk, Muhammad Razali Burhanuddin, 35, menyatakan rasa syukur atas kemudahan yang dinikmati hasil projek tersebut.
“Sebelum raya pun dah rasa lain macam, air laju, tak semput-semput macam dulu lagi,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

