Dana pilihan raya RM1 juta lebihi had: Bersih minta Akta Pendanaan Politik disegerakan

Bersih menggesa kerajaan segera menambah baik undang-undang berkaitan pembiayaan dan perbelanjaan politik bagi menjamin ketelusan dalam pilihan raya.
Bersih menggesa kerajaan segera menambah baik undang-undang berkaitan pembiayaan dan perbelanjaan politik bagi menjamin ketelusan dalam pilihan raya.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menggesa kerajaan segera menambah baik undang-undang berkaitan pembiayaan dan perbelanjaan politik bagi menjamin ketelusan dalam pilihan raya.

Seruan itu dibuat susulan pendedahan Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Sanusi Md Nor ketika Muktamar Tahunan Pas ke-71 baru-baru ini yang menyatakan sekurang-kurangnya RM1 juta diperlukan untuk memenangi satu kerusi Parlimen.

Bersih memberi gambaran bahawa parti politik berkemungkinan berbelanja melebihi had ditetapkan undang-undang ekoran kelemahan peruntukan sedia ada yang mempunyai banyak kelompongan.

Menurut badan pemantau pilihan raya itu, perkara tersebut menimbulkan persoalan mengenai kredibiliti ahli politik, khususnya mereka yang bertanggungjawab menggubal undang-undang di Parlimen, apabila peruntukan undang-undang sedia ada tidak dipatuhi.

“Bersih ingin memperingatkan bahawa Seksyen 19 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 menetapkan had perbelanjaan pilihan raya bagi Dewan Rakyat adalah RM200,000, manakala bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) ialah RM100,000,” katanya dalam kenyataan pada Khamis,

Jelas Bersih, selain soal perbelanjaan pilihan raya, isu sumber kewangan atau dana parti politik serta calon juga sama penting untuk diperhatikan.

“Persoalan sumber dana parti politik perlu diberi perhatian kerana ia sama penting dengan bagaimana dana itu dibelanjakan, khususnya menjelang dan ketika tempoh kempen pilihan raya,” tambahnya.

Sehubungan itu, Bersih mengemukakan dua gesaan utama bagi memperkukuh mekanisme peraturan dan undang-undang berkaitan pembiayaan politik di negara ini.

Pertama, kerajaan digesa meminda Akta Kesalahan Pilihan Raya (AKPR) 1954 agar lebih moden dan relevan dengan kos semasa.

Artikel Berkaitan:

“Seksyen 19 perlu disemak semula untuk mencerminkan realiti kos kini seperti sewa pejabat, pengangkutan dan harga barangan. Selain itu, Seksyen 23 dan 24 juga wajar dipinda bagi mewajibkan audit perbelanjaan pilihan raya oleh calon serta parti politik,” jelasnya.

Kedua, Bersih menuntut agar kerajaan segera menggubal Akta Pembiayaan Politik bagi mengawal selia sumbangan politik dengan lebih ketat.

Menurut kenyataan itu, akta baharu itu perlu merangkumi aspek kawal selia sumbangan, menetapkan had derma, mengenal pasti penyumbang, mekanisme penerimaan dan hukuman sekiranya berlaku pelanggaran.

“Sebagai contoh, Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) mengenai Pendanaan Politik sebelum ini mencadangkan had RM50,000 untuk individu dan RM100,000 daripada syarikat.

“Selain itu, sebuah suruhanjaya khas yang bebas perlu diwujudkan bagi mengawal selia dana politik supaya lebih telus dan berintegriti,” katanya lagi.

Bersih turut menegaskan, pendedahan secara terbuka oleh Sanusi sepatutnya membuka mata semua pihak bahawa parti politik sangat bergantung kepada dana besar untuk bertanding dalam pilihan raya.

Katanya, undang-undang yang ada pada masa ini terlalu lemah untuk mengawal selia sumber dan perbelanjaan pilihan raya oleh parti politik mahupun calon.

“Sudah tiba masanya kerajaan berani melaksanakan pembaharuan dengan memperkukuh undang-undang berkaitan agar pilihan raya benar-benar bersih, adil dan telus,” ujar kenyataan itu.

 

Ringkasan AI

  • Bersih mendesak kerajaan untuk memperbaiki undang-undang pembiayaan dan perbelanjaan politik
  • Pendedahan dibuat oleh Pengarah Pilihan Raya Pas tentang keperluan dana pilihan raya
  • Parti politik mungkin berbelanja melebihi had yang ditetapkan akibat kelompongan undang-undang sedia ada
  • Bersih menuntut penyesuaian dan pembaharuan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 untuk mencerminkan kos semasa
  • Bersih juga mendesak penciptaan Akta Pembiayaan Politik baru untuk mengawal selia sumbangan politik dan memperkenalkan audit wajib

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!