DOCM perkasa pelancongan negara menerusi komuniti permotoran

SHAH ALAM - Ducati Official Club Malaysia (DOCM) memainkan peranan penting dalam menyokong dan mempromosikan pelancongan negara melalui penglibatan aktif komuniti permotoran di peringkat antarabangsa, khususnya menerusi pendekatan motorcycle tourism.
Perkara itu dizahirkan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Shaharuddin Abu Sahot, ketika merasmikan Sambutan Ulang Tahun Penubuhan Ke-10 Ducati Official Club Malaysia serentak dengan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Ke-9 di sebuah hotel di sini.
Shaharuddin ketika berucap berkata, penglibatan aktif DOCM di peringkat antarabangsa, khususnya menerusi penyertaan dalam World Ducati Week (WDW) di Itali, secara tidak langsung membawa jenama Malaysia ke mata dunia.
“DOCM juga merupakan antara kelab Ducati terbesar yang menghantar 100 delegasi dari Malaysia merentasi beberapa negara Eropah termasuk Itali, Switzerland, Jerman dan Austria, sekali gus menyumbang kepada promosi pelancongan negara di peringkat global,” ujarnya.
Majlis berkenaan turut dihadiri Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, serta Presiden Ducati Official Club Malaysia, Datuk Seri Nazir Hussin Akhtar Hussin bersama barisan kepimpinan dan ahli DOCM dari seluruh negara.

Menurut Shaharuddin, DOCM bukan sekadar sebuah kelab motosikal, malah telah berkembang sebagai platform profesional yang menyokong usaha kerajaan mempromosikan pelancongan melalui komuniti permotoran, selain memupuk disiplin, keselamatan dan imej positif negara.
Beliau berkata, pendekatan motorcycle tourism yang diketengahkan DOCM berpotensi menjadi tarikan baharu kepada pelancong antarabangsa, sekali gus mengukuhkan jenama Tourism Malaysia serta merancakkan industri pelancongan dan hospitaliti negara.
Pada masa sama, kerajaan mengiktiraf peranan kelab permotoran berdaftar seperti DOCM dalam membentuk budaya menunggang yang bertanggungjawab, mematuhi undang-undang serta menyumbang kepada keselamatan jalan raya dan keharmonian sosial.
DOCM kini mempunyai lebih 1,800 ahli berdaftar sepanjang sedekad penubuhannya dan terus aktif menganjurkan program berimpak tinggi termasuk aktiviti kebajikan, keselamatan serta penganjuran acara yang berpotensi menarik kehadiran pelancong luar ke Malaysia.
"Sambutan ulang tahun ke-10 itu sekali gus menandakan kejayaan DOCM sebagai duta tidak rasmi negara dalam mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan mesra komuniti permotoran dua roda," tambahnya.
Ringkasan AI
- DOCM memainkan peranan penting dalam menyokong pelancongan negara menerusi penglibatan dalam motorcycle tourism
- Penglibatan aktif DOCM di peringkat antarabangsa termasuk penyertaan dalam World Ducati Week di Itali membawa jenama Malaysia ke mata dunia
- Kelab ini menghantar 100 delegasi merentasi beberapa negara Eropah termasuk Itali dan Jerman untuk promosi pelancongan
- DOCM berkembang sebagai platform profesional untuk menyokong pelancongan dan mengukuhkan jenama Tourism Malaysia
- DOCM mempunyai lebih 1,800 ahli berdaftar dan aktif menganjurkan program yang menarik pelancong asing ke Malaysia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

