RM1 juta pertahan kerusi Parlimen: Apa maknanya untuk demokrasi Malaysia?

PENDEDAHAN Menteri Besar Kedah merangkap Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas dan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bahawa kos mempertahan satu kerusi Parlimen boleh mencecah RM1 juta mencerminkan realiti baharu politik Malaysia yang semakin mahal dan mencabar.
Kos pilihan raya sememangnya meningkat, namun angka ini menampakkan betapa besar kebergantungan parti kepada dana untuk menampung logistik, kempen serta penguasaan media sosial.
Bagi parti besar, jumlah berkenaan mungkin mampu ditampung tetapi bagi parti kecil atau calon bebas ia menjadi penghalang besar untuk bertanding secara adil.
Situasi itu menimbulkan kebimbangan sama ada demokrasi hanya boleh diakses mereka yang berduit sekali gus menjadikan politik semakin eksklusif.
Kempen moden pula menuntut penggunaan teknologi canggih seperti iklan digital, media sosial dan data pengundi memerlukan kepakaran serta kos tinggi.
Namun isu yang lebih kritikal ialah dari mana dana itu datang tanpa ketelusan timbul kebimbangan tentang pengaruh pihak berkepentingan atau penyalahgunaan.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah menetapkan had perbelanjaan tetapi sejauh mana ia dipatuhi dan dikuatkuasakan terus menjadi tanda tanya.
Jika kos terlalu menekan, fokus parti mungkin beralih kepada usaha mencari dana berbanding merangka dasar yang bermanfaat kepada rakyat.
Lebih membimbangkan, budaya belanja besar boleh menggalakkan politik wang atau saluran kewangan tidak sah sekali gus merosakkan integriti demokrasi.
Walau begitu, ada pandangan bahawa kos tinggi juga menunjukkan kesungguhan parti melabur dalam strategi moden dan jentera yang lebih teratur.
Apa pun, keseimbangan perlu wujud agar kos tidak menutup peluang kepada calon berpotensi daripada pelbagai latar masyarakat.
Akhirnya, angka RM1 juta ini bukan sekadar statistik tetapi cabaran untuk memastikan pilihan raya di Malaysia kekal telus, inklusif dan benar-benar mencerminkan suara rakyat.
Ringkasan AI
- Kos mempertahan satu kerusi Parlimen di Malaysia boleh mencapai RM1 juta
- Kos pilihan raya yang tinggi mencerminkan kebergantungan parti politik pada dana untuk kempen
- Keperluan teknologi canggih seperti iklan digital dan media sosial meningkatkan kos kempen
- Ketidakjelasan asal-usul dana kempen menimbulkan kebimbangan tentang integriti demokrasi
- Perlu keseimbangan agar kos pilihan raya tidak menghalang calon berpotensi dari pelbagai latar belakang
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
