Malaysia perlu manfaat kepengerusian ASEAN teroka industri halal di negara anggota

Ahmad Zahid (empat dari kiri) melancarkan Majlis Pembangunan Industri Halal Pulau Pinang pada Isnin.
Ahmad Zahid (empat dari kiri) melancarkan Majlis Pembangunan Industri Halal Pulau Pinang pada Isnin.
A
A
A

SEBERANG JAYA – Malaysia perlu memperkukuh peranannya sebagai hab halal serantau dengan mengambil peluang sebagai Pengerusi ASEAN 2025 untuk memperluas pasaran produk halal ke negara-negara anggota.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, usaha itu harus digiatkan kerana ketika ini hanya beberapa negara menerima produk yang menggunakan pensijilan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

"Industri halal di negara-negara seperti Indonesia dan Thailand giat memasarkan produk mereka ke Malaysia, namun produk Malaysia sukar memasuki pasaran Aseankerana usaha pemasaran belum cukup kuat.

“Oleh kerana ASEAN mempunyai 600 juta penduduk dan merupakan pasaran yang besar, kita perlu luaskan pasaran halal Malaysia dengan lebih agresif,” katanya kepada media selepas melancarkan Majlis Pembangunan Industri Halal Pulau Pinang di sini pada Isnin.

Turut hadir, Ketua Menteri, Chow Kom Yeow dan Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal (MPPH) berkata, pihaknya telah mencadangkan penubuhan Halal Council for ASEAN dan merancang penganjuran Forum Halal ASEAN pada September ini sebagai salah satu langkah memperkukuh kerjasama serantau.

Dalam masa sama, beliau berkata, pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) juga akan diadakan pada bulan sama dan bakal menghimpunkan pemain industri halal dari seluruh rantau ASEAN untuk tujuan 'business matching'.

“Selain sektor makanan dan minuman, kita juga mahu beri tumpuan kepada sektor lain seperti perubatan, kosmetik dan bahan farmaseutikal kerana potensinya besar dan belum diteroka sepenuhnya.

Artikel Berkaitan:

“Seperti contoh, gelatin halal yang kini hanya ada satu pengeluar di Malaysia, ua perlu dikembangkan untuk pasaran serantau dan antarabangsa kerana bahan ini penting dalam pelbagai produk halal,” katanya.

Tambah beliau, usaha pembangunan industri halal kini dikendalikan secara bersama oleh Halal Development Corporation (HDC) di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta kerajaan negeri.

“Koordinasi ini bukan agenda negeri sahaja, tetapi agenda nasional dan kita akan terus memasarkan produk halal Malaysia ke peringkat antarabangsa dengan kerjasama HDC dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade)," katanya.

Beliau berkata lagi, peranan Malaysia sebagai peneraju pensijilan halal diiktiraf dunia dan platform ASEAN akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi mengangkat industri halal ke tahap lebih tinggi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!