Bila semua benda nak di-AI-kan

Di sebalik keghairahan negara memperkasakan teknologi AI, terdapat juga pihak yang tidak bertanggungjawab menyalahgunakannya untuk tujuan penipuan.
Di sebalik keghairahan negara memperkasakan teknologi AI, terdapat juga pihak yang tidak bertanggungjawab menyalahgunakannya untuk tujuan penipuan.
A
A
A

TIDAK dinafikan penggunaan teknologi kepintaran buatan (AI) pada masa ini sangat membantu memudahkan kerja manusia. Jika sebelum ini kita mengambil masa untuk memproses sesuatu data, namun dengan menggunakan AI, semua data boleh diperoleh dalam tempoh yang singkat.

Malah pencarian sesuatu maklumat juga boleh diperoleh dengan hanya bertanya pada ChatGPT yang merupakan satu produk daripada aplikasi AI.

Malaysia juga tidak ketinggalan memperkasakan teknologi AI di mana menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Pelan Tindakan Kecerdasan Buatan (AI) 2026–2030 yang memberi tumpuan aspek etika, inovasi dan pertumbuhan yang saksama.

Anwar memaklumkan, Malaysia akan menggunakan RMK13 sebagai landasan untuk membina sebuah hab serantau bagi inovasi teknologi digital serta penghasilan produk dan perkhidmatan ‘Buatan Malaysia’.

Program Malaysia Techlympics dengan peruntukan RM10 juta juga terus diperhebat sebagai dorongan melahirkan anak tempatan yang pakar dalam bidang robotik dan teknologi AI. Ia membuktikan bahawa negara tidak mahu ketinggalan dalam memperkasakan teknologi AI.

Menurut Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO), Malaysia kini berada di kedudukan kedua dalam kalangan negara ASEAN dan ke-23 di dunia dari segi kesiapsiagaan AI.

Sejak tahun 2021, beberapa inisiatif utama sudah dilaksanakan termasuk pelaburan dalam teknologi pengkomputeran berprestasi tinggi seperti YTL-Nvidia AI Cloud dan pembangunan cip melalui pelesenan teknologi ARM.

Mangsa deepfake

Namun di sebalik keghairahan negara memperkasakan teknologi AI, terdapat juga pihak yang tidak bertanggungjawab menyalahgunakannya untuk tujuan penipuan.

Artikel Berkaitan:

Aplikasi digital dipacu AI yang dikenali sebagai deepfake, kini semakin banyak dimanipulasi bagi menghasilkan imej, audio atau video palsu individu terkenal di dalam dan di luar negara bagi melakukan penipuan.

Pada tahun lalu beberapa artis Malaysia seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Aznil Nawawi, Zul Ariffin dan Aeril Zafrel selain pempengaruh, Khairul Aming dilaporkan menjadi mangsa deepfake.

Baru-baru ini pula politik Malaysia dikejutkan dengan siri pemerasan siber terancang apabila lebih sepuluh wakil rakyat, majoritinya daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), tampil mengaku menjadi mangsa ugutan video lucah palsu yang dihasilkan menggunakan AI.

Lebih mengejutkan, kesemua mereka menerima tuntutan wang tebusan bernilai AS$100,000 (kira-kira RM420,000) bagi mengelak penyebaran video fitnah berkenaan.

Antara yang menjadi mangsa, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli; Ahli Parlimen Subang, Wong Chen; Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Taufiq Johari; Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli; Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Najwan Halimi; Senator Manolan Mohamad; ADUN Kulim, Wong Chia Zen serta Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr Mohamad Fahmi Ngah.

Fahmi memaklumkan, modus operandinya sama iaitu pelaku mengugut untuk menyebarkan video palsu berkenaan sekiranya penerima gagal membuat bayaran dalam jumlah yang diminta. Malah semakan mendapati kesemua e-mel terbabit menggunakan ayat hampir sama, disertakan dengan tangkap layar serupa dan dipercayai dihantar daripada alamat e-mel yang sama.

Menghantar komunikasi jelik dengan niat mengugut adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Jika sabit kesalahan, pelaku boleh dikenakan denda sehingga RM500,000, penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Peningkatan imej deepfake di internet membayangkan ancaman penyalahgunaan maklumat janaan AI yang boleh merosakkan reputasi dan membawa kepada gejala buli siber.

AI jika dimanfaatkan dengan betul boleh membantu ke arah yang positif namun jika disalahgunakan boleh menjatuhkan imej seseorang. Malah ia boleh meningkatkan kes penipuan sehingga merugikan si mangsa.

Beginilah bila golongan terlebih akal menggunakan teknologi, semua benda mahu diambil kesempatan untuk memanipulasi dan menipu orang ramai demi kepentingan sendiri.

* Farah Nabila Mohamed Saris ialah Sub Editor Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!