Rakyat Malaysia terkandas di Iran dibawa pulang menaiki pesawat khas

Kamarudin Jaffar
Kamarudin Jaffar
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan membawa pulang 46 rakyat Malaysia yang terkandas di Iran melalui pesawat khas yang dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2) pada jam 6.10 pagi esok.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, pesawat sewaan khas Air Asia itu telah berlepas ke Tehran pada jam 11.45 pagi ini dan dijadual membawa pulang kesemua rakyat Malaysia termasuk lapan rakyat Singapura serta seorang rakyat Indonesia hasil perbincangan peringkat tertinggi antara kerajaan-kerajaan negara terlibat.

“(Ia dicapai) Hasil perbincangan menerusi sidang video antara Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dengan rakan sejawat dari Indonesia, Ibu Retno Marsudi semalam dan menerusi perbualan telefon dengan rakan sejawat dari Singapura, HE Vivian Balakrishnan pada 11 Mac lepas dalam meraikan semangat kerjasama ASEAN,” katanya.

Bercakap dalam sidang media yang disiarkan menerusi laman rasmi Facebook Wisma Putra, beliau yang juga Pengerusi Pasukan Petugas Covid-19 Kementerian Luar berkata, kerajaan juga akan membawa pulang seramai 1,116 rakyat Malaysia yang terkandas di India dalam masa terdekat.

Jelasnya, proses itu akan dilakukan secara berperingkat menggunakan enam pesawat AirAsia yang disewa khas selain dua pesawat Malaysia Airlines (MAS).

Beliau turut menzahirkan penghargaan atas kerjasama yang terjalin dengan pihak persendirian di saat negara menghadapi situasi ketika ini.

Bagi situasi di Itali, Kamarudin berkata, Italian Civil Aviation Authority (ENAC) telah membatalkan kebenaran mendarat untuk semua pesawat termasuk pesawat sewaan khas yang sepatutnya membawa pulang rakyat Malaysia.

“Buat masa ini, Wisma Putra sedang bertungkus-lumus termasuk berunding dengan kerajaan Itali bagi memberi kebenaran khas untuk kita meneruskan urusan repatriasi dari Itali ini dengan secepat mungkin. Sebarang maklumat berhubung situasi ini akan Wisma Putra maklumkan dari masa ke masa,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tegasnya, mengikut perancangan awal, urusan repatriasi itu melibatkan seramai 82 orang rakyat Malaysia yang berdaftar dengan Kedutaan Besar Malaysia di Rom dan sepatutnya tiba di sini pagi Isnin ini. - Bernama