Tahan, dakwa di mahkamah jika ceroboh tanah

SHAH ALAM – Isu rumah ibadat yang dibina tanpa kebenaran perlu ditangani secara tegas mengikut lunas undang-undang bagi mengelakkan ia dimanipulasi pihak tertentu.
Peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla menegaskan, perkara berkenaan tidak wajar dicampur aduk dengan isu lain kerana penyelesaiannya termaktub jelas dalam peruntukan undang-undang sedia ada.
Menurutnya, mana-mana pihak yang menceroboh tanah perlu ditahan dan didakwa di mahkamah supaya menjadi pengajaran serta tidak berlaku pada masa hadapan.
“Kalau undang-undang dilaksanakan sejak awal lagi, tidak timbul isu berulang atau pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan.
“Apa yang penting ialah penguatkuasaan tegas dan konsisten,” katanya kepada Sinar Harian.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menegaskan semua kegiatan keagamaan serta pembinaan rumah ibadat perlu mematuhi peraturan ditetapkan pihak berkuasa demi memastikan keharmonian dan keamanan negara terus terpelihara.
Beliau turut mengingatkan bahawa isu membabitkan kuil, aktiviti dakwah dan perkara berkaitan agama yang timbul kebelakangan ini perlu ditangani dengan baik serta berlandaskan undang-undang.
Dalam pada itu, Mohamed Haniff Khatri yang juga Ketua (Sementara) Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH) mendakwa, terdapat kes tertentu melibatkan pembinaan rumah ibadat yang bukan semata-mata didorong faktor keagamaan, sebaliknya mempunyai kepentingan lain termasuk tuntutan pampasan atau tanah gantian.
Bagaimanapun, beliau tidak menafikan terdapat rumah ibadat yang telah wujud sejak puluhan tahun malah sebelum merdeka.
“Kalau benar sudah lama wujud, kenapa tidak pernah buat permohonan rasmi atau mendapatkan kelulusan sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang?
“Undang-undang berkaitan tanah, kelulusan pelan, sijil pendudukan dan sebagainya sudah lama berkuat kuasa,” ujarnya.
Beliau menjelaskan, tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara bagi pembinaan haram di atas tanah awam yang memperuntukkan denda sehingga RM500,000 dan hukuman penjara.
Bagi tanah persendirian pula katanya, kesalahan menceroboh boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 441 Kanun Keseksaan.
Menurutnya, pihak berkuasa perlu menyiasat setiap laporan secara menyeluruh termasuk menentukan status sebenar tanah dan sama ada wujud kebenaran terdahulu daripada pemilik asal.
“Jika jelas berlaku pencerobohan, tindakan mesti diambil terhadap pihak yang membina struktur tersebut, bukannya terhadap pihak lain.
“Selagi tiada ketegasan, isu ini akan terus hantui negara dan mudah dimanipulasi dengan sentimen kaum serta agama,” katanya.
Ringkasan AI
- Isu rumah ibadat yang dibina tanpa kebenaran perlu ditangani secara tegas mengikut undang-undang
- Mana-mana pihak yang menceroboh tanah perlu didakwa di mahkamah
- Perdana Menteri menekankan pembinaan rumah ibadat harus mematuhi peraturan berkuasa
- Rumah ibadat lama tidak dibenarkan mengelak dari permohonan rasmi atau kelulusan undang-undang
- Undang-undang menyediakan denda dan hukuman untuk pembinaan haram di tanah awam atau persendirian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

