SPRM, AFP tingkat kerjasama tangani rasuah, jenayah rentas sempadan

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terus memperkukuh kerjasama antarabangsa dalam memerangi jenayah rasuah dan kewangan apabila menerima kunjungan rasmi Australian Federal Police (AFP) di Ibu Pejabat SPRM, di sini pada Jumaat.
Pertemuan dua hala tersebut diketuai oleh Pengarah Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM, Datuk Zamri Zainuddin bersama wakil AFP, Nick Morgan, dalam usaha mempertingkat sinergi strategik antara Malaysia dan Australia khususnya dalam isu rasuah, pengubahan wang haram dan jenayah rentas sempadan.

“Kerjasama antara agensi penguat kuasa undang-undang antarabangsa amat penting dalam menghadapi cabaran jenayah moden yang semakin kompleks.
“Kami menghargai komitmen AFP dalam memperkukuh hubungan dua hala ini, khususnya dalam membantu SPRM membanteras jenayah merentas sempadan,” kata Zamri dalam kenyataan pada Sabtu.
Zamri turut memaklumkan bahawa dalam pertemuan itu, SPRM telah memohon bantuan AFP bagi mengesan seorang suspek yang sedang disiasat oleh BOK dan dikenakan Notis Merah.
Menurut beliau, pihak AFP menyatakan komitmen untuk membantu usaha tersebut termasuk menyediakan sokongan bagi proses ekstradisi suspek ke Malaysia untuk tujuan pertuduhan mengikut undang-undang negara ini.
“Hasil perbincangan ini diharap dapat merapatkan lagi kerjasama strategik antara SPRM dan AFP, selaras dengan objektif untuk memastikan keselamatan dan integriti negara masing-masing kekal terpelihara,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
