Dua anggota Maritim dirempuh bot pancung bawa PATI

PORT DICKSON – Dua anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Melaka dan Negeri Sembilan cedera selepas dirempuh sebuah bot pancung yang disyaki membawa sekumpulan pendatang asing tanpa izin (PATI) berhampiran sempadan perairan Negeri Sembilan pada Selasa.
Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Kapten Maritim Salehuddin Zakaria berkata, Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Lumut telah mengesan sebuah bot mencurigakan pada jam 8 malam di kawasan Skim Pemisahan Trafik (TSS), disyaki sedang menuju masuk ke perairan Tanjung Rhu, Sepang.
“Susulan itu, aset bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan rondaan Op Patkor Optima telah diatur gerak bagi memintas bot berkenaan.
“Menyedari kehadiran aset penguat kuasa, bot pancung yang dilengkapi tiga enjin berkuasa tinggi itu telah bertindak agresif dengan merempuh sisi kiri bot operasi sehingga mengalami kerosakan teruk, sebelum mereka berjaya meloloskan diri,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Jelas beliau, kejadian itu mengakibatkan seorang anggota cedera di bahagian atas hidung manakala seorang lagi mengalami kecederaan di kaki dan tangan akibat hentakan.

Tambahnya, kedua-dua anggota telah dihantar ke Hospital Port Dickson untuk rawatan lanjut dan kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
“Bot yang membawa PATI itu dipercayai berpatah keluar dari perairan Malaysia selepas gagal melakukan pendaratan.
“Operasi pengesanan serta tindakan khas kini sedang giat dilaksanakan bagi menjejaki suspek dan rangkaian penyeludupan yang terlibat,” katanya.
Salehuddin berkata, Maritim Malaysia memandang serius cubaan penyeludupan manusia melalui laluan laut kerana ia bukan sahaja mengancam keselamatan negara, malah turut membahayakan nyawa PATI serta anggota penguat kuasa.
Jelasnya, insiden tersebut membuktikan bahawa tugas sebagai anggota penguat kuasa maritim adalah berisiko tinggi kerana sentiasa berhadapan dengan ancaman secara langsung di laut, termasuk dirempuh serta berdepan kemungkinan kehilangan nyawa ketika menjalankan amanah negara.
“Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti penyeludupan atau pendaratan PATI diminta menyalurkannya segera kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan di talian 06-3876730 atau menghubungi talian kecemasan 999 bagi tindakan segera,” katanya.
Ringkasan AI
- Dua anggota Maritim Malaysia cedera selepas bot disyaki membawa PATI merempuh bot mereka di Negeri Sembilan
- Bot mencurigakan itu dikesan oleh SWASLA Lumut menuju ke perairan Tanjung Rhu, Sepang
- Bot pancung yang dilengkapi tiga enjin berkuasa tinggi bertindak agresif dan merempuh serta meloloskan diri
- Seorang anggota cedera di bahagian atas hidung, seorang lagi cedera di kaki dan tangan, kedua-duanya dibawa ke Hospital Port Dickson
- Maritim Malaysia meningkatkan usaha mengesan suspek dan rangkaian penyeludupan, menekankan risiko tinggi tugas penguatkuasaan maritim
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

