Nilai al-Quran, sumbangan beras hidupkan semangat 'Merdeka Dengan Rasa'

A
A
A

SHAH ALAM - Semangat memberi melalui al-Quran diterjemahkan secara nyata apabila sebanyak 2,639 kampit beras berjaya dikumpulkan hanya dalam tempoh dua hari sempena Malaysia #QuranHour 2025 bertemakan “Merdeka Dengan Rasa”.

Kempen anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) itu membuktikan mesej al-Quran bukan sekadar dibaca, tetapi mampu dihidupkan dalam bentuk kasih sayang dan kepedulian terhadap masyarakat.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff, nilai sebenar kempen bukan hanya pada jumlah beras yang dikumpulkan, tetapi roh al-Quran yang diterjemah dalam tindakan.

“Nampak kecil, tetapi sebenarnya nilai paling besar ialah bagaimana kandungan al-Quran itu sendiri dapat kita membumikan dalam bentuk kasih sayang dan kepedulian,” katanya.

Sebanyak 100 kampit beras sumbangan Faiza dan 2539 kampit melalui sumbangan orang ramai telah diagihkan kepada golongan yang memerlukan, termasuk orang bukan Islam, keluarga asnaf, puasat dialysis, pusat tahfiz, masjid dan rumah anak yatin. Antara lokasi agihan adalah di Masjid Negara, Bukit Bintang, Kajang, Wangsa Maju, Bukit Beruntung, Kluang, Klang, Chow Kit, Taman Melati, dan Rawang.

Agihan dilakukan oleh penggerak Rumah Ngaji, Pertubuhan JASA (Jaringan Aspirasi Solusi Amal) Malaysia, wakil masjid, dan sukarelawan.

Marhaini berkata, pengalaman mengagihkan bantuan itu menyaksikan bukan sahaja penerima berasa syukur, malah penyumbang turut merasai kebahagiaan.

“Ada juga keluarga yang sanggup turun mengagihkan sehingga tengah malam menjelang tahun baharu. Dari situ kita nampak roh kasih sayang yang al-Quran ajar dapat diterjemah dalam masyarakat berbilang bangsa,” jelasnya.

Menariknya, kempen beras ini mendapat sambutan pantas bukan sahaja dalam negara, malah dari rakyat Malaysia di luar negara termasuk Makkah.

Artikel Berkaitan:

“Respon sangat cepat. Mereka faham mengapa perlu memberi kerana kita sandarkan mesej ini kepada Surah Al-Balad. Inilah bukti apabila al-Quran dibumikan, ia jadi formula yang amat efektif,” katanya.

Selain amalan memberi, Malaysia #QuranHour turut mengangkat bacaan dan tadabbur Surah Al-Saff, Surah Ali ‘Imran (ayat 52) dan Surah Al-Balad sebagai panduan membina jiwa merdeka.

Mengulas perancangan seterusnya, Marhaini berkata, kempen ini akan disambung melalui World Quran Convention yang bakal memberi tumpuan kepada Surah Al-Saff.

“Kalau sempena Merdeka kita bawa tema Merdeka Dengan Rasa, di World #QuranConvention kita akan gali bagaimana berniaga dengan ALLAH SWT melalui Surah Al-Saff. Kita sedang susun 12 saf utama yang diharap dapat membina negara dan dunia yang lebih baik,” ujarnya.

Beliau menegaskan bahawa al-Quran adalah solusi kehidupan buat semua manusia, bukan hanya umat Islam.

“Inilah formula paling penting iaitu kasih sayang yang berpunca daripada kalam ALLAH SWT. Apabila kita laksanakan, ia menjadi sangat efektif. Harapan kami, tindakan kecil ini akan mencetuskan gelombang kepedulian yang lebih besar,” katanya lagi.

Ringkasan AI

  • Semangat memberi melalui al-Quran diterjemahkan dengan pengumpulan 2,639 kampit beras dalam dua hari sempena Malaysia #QuranHour 2025
  • Kempen ini anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, menggalakkan kasih sayang dan kepedulian terhadap masyarakat
  • Beras yang dikumpulkan diagihkan kepada golongan memerlukan termasuk bukan Islam, keluarga asnaf, pusat dialysis, dan lain-lain
  • Pengagihan bantuan dilakukan oleh Rumah Ngaji, Pertubuhan JASA Malaysia, wakil masjid, dan sukarelawan, mencerminkan nilai kasih sayang al-Quran
  • Kempen mendapat sambutan dalam dan luar negara, berpandukan kepada Surah Al-Balad, dan akan disambung melalui World Quran Convention fokus kepada Surah Al-Saff

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!