Maritim Malaysia rekod RM9.2 juta nilai rampasan dalam tempoh empat bulan

Maritim Malaysia dan ABF bekerjasama mengadakan Op Redback 20.
Maritim Malaysia dan ABF bekerjasama mengadakan Op Redback 20.
A
A
A

PORT DICKSON - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) merekodkan lebih RM9.2 juta nilai rampasan dari Januari hingga April lalu.

Pemangku Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia, Laksamana Muda Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, rampasan berkenaan membabitkan pelbagai barangan kontraban seperti rokok, minuman keras dan tong gas petroleum cecair (LPG).

Mohd Zawawi
Mohd Zawawi

"Sebanyak 17 tangkapan kes membabitkan barangan kontraban seperti rokok, minuman keras dan tong gas LPG direkodkan dan 16 tangkapan bagi kes penyeludupan barangan kawalan seperti petrol dan diesel.

"Selain itu, sebanyak 17 pendatang asing tanpa izin (PATI) iaitu lapan warga Indonesia dan sembilan warga Myanmar ditahan kerana cuba masuk dan keluar dari negara ini melalui jalan tikus," katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir merasmikan majlis penutup Operasi Redback Ke-20 (Op Redback 20) di sini pada Jumaat.

Turut hadir, Kaunselor Australian Border Force (ABF) di Suruhanjaya Tinggi Australia, Superintenden Brooke Leung dan Pemangku Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Komander Maritim Norrimi Hassan.

Mengulas mengenai Op Redback 20 yang diadakan, beliau berkata, operasi berkenaan diadakan dari 5 hingga 9 Mei di perairan Melaka dan Negeri Sembilan menerusi kerjasama strategik antara Maritim Malaysia dan ABF.

"Operasi tahunan yang bermula sejak 2012, menerusi memorandum persefahaman antara kerajaan Malaysia dan Australia ini menjadi platform penting dalam meningkatkan kesiapsiagaan dan keberkesanan penguatkuasaan undang-undang maritim kedua-dua negara.

Artikel Berkaitan:

“Operasi ini bukan sekadar kerjasama dua hala, malah bukti komitmen berterusan kita dalam membanteras kegiatan jenayah yang mengancam keselamatan perairan negara," katanya.

Beliau berkata, pada operasi kali ini penguatkuasaan dilakukan dalam jarak seluas 2,860 kilometer persegi bermula dari Kuala Sepang, Selangor hingga ke Kuala Kesang, Muar melibatkan empat buat aset laut milik Maritim Malaysia iaitu KM Danga, bot Benteng 04, bot Perkasa 37 dan bot Penggalang 38.

Tambahnya, sebanyak 122 pemeriksaan telah dilakukan melibatkan kapal dagang, vesel nelayan tempatan (VNT), bot penumpang dan tugboat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!