Cabaran dana, pelapis muda kekang usaha kebajikan - NGO

KUANTAN –Perjuangan mempertahankan kebajikan bukanlah tugas yang mudah, apatah lagi apabila digalas dalam keadaan serba terbatas.
Kekurangan dana, tenaga kerja dan sokongan daripada pelapis muda menyebabkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) wanita berdepan cabaran besar untuk kekal relevan dalam masyarakat.
Bagi Pertubuhan Salam Wanita Muslimah Pahang (PLASMA), inilah realiti yang mereka hadapi demi membantu masyarakat, khususnya asnaf miskin bandar, sahabat mualaf dan gelandangan di negeri ini.
Menurut Pengerusi PLASMA, Zaleha Osman, 73, kekangan dana sering menjadi penghalang utama dalam memastikan setiap program yang dirancang dapat direalisasikan.
Katanya, banyak aktiviti terpaksa ditangguhkan apabila sumber kewangan tidak mencukupi, meskipun semangat dan keazaman mereka untuk terus berbakti tidak pernah luntur.

“Kadang-kadang kita nak anjurkan program motivasi atau kesedaran, tapi terpaksa fikir dua tiga kali kerana bajet terlalu ketat.
“Sumber kewangan pula lebih banyak bergantung kepada sumbangan ahli dan individu prihatin,” katanya ketika ditemui di sini pada Selasa.
Beliau menjelaskan bahawa situasi tersebut menyebabkan beberapa program perlu diubah suai atau ditangguhkan, walaupun permintaan daripada masyarakat sentiasa ada.
Ujarnya, keadaan itu menuntut mereka lebih kreatif dalam merangka strategi bagi memastikan usaha kebajikan tidak terhenti di tengah jalan.
“Antara yang kami lakukan ialah menjalin kerjasama dengan agensi kerajaan, syarikat korporat dan masyarakat setempat bagi menampung keperluan dana,” ujarnya.
Perkara sama turut dikongsi Ahli Jawatankuasa PLASMA, Rahah Yaacob, 58, yang mengakui kesinambungan kepimpinan dalam pertubuhan itu semakin kritikal apabila majoriti ahli aktif terdiri daripada wanita berusia yang telah berkeluarga.
Ujarnya, keadaan itu membataskan keupayaan mereka untuk memberi komitmen sepenuhnya terhadap aktiviti pertubuhan.
Tambahnya, akibatnya hanya sebilangan kecil individu terpaksa menggalas tanggungjawab menggerakkan hampir semua program, sedangkan beban kerja sepatutnya diagih secara lebih seimbang.
“Anak muda hari ini memang ramai berminat dengan kerja komuniti, tapi persoalannya ialah bagaimana nak tarik mereka supaya terlibat secara berterusan,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa penyertaan generasi muda amat penting kerana tanpa pelapis baharu, pertubuhan berdepan risiko kekurangan tenaga penggerak dan kepimpinan masa depan.
“Apabila tiada pengganti yang mampu menggalas peranan, ia bukan sahaja menjejaskan perjalanan persatuan, malah boleh menggugat kelangsungan pertubuhan,” ujarnya.
Sementara itu, Wan Jesmiah Wan Abdullah, 64, berkata, persepsi masyarakat terhadap NGO masih bercampur-campur dan belum difahami secara menyeluruh.
Menurutnya, terdapat pihak yang menyedari peranan besar yang dimainkan NGO dalam mengisi ruang yang tidak mampu ditangani sepenuhnya oleh agensi kerajaan, khususnya dalam isu sosial dan kebajikan masyarakat.
Namun katanya, tidak kurang juga yang beranggapan NGO hanyalah persatuan biasa yang wujud sekadar untuk melengkapkan nama semata-mata, tanpa memberi kesan yang benar-benar signifikan.
“Bila ada yang skeptikal, ia sedikit sebanyak menjejaskan keyakinan terhadap usaha kami, sedangkan kami digerakkan atas kesedaran dan keikhlasan untuk membantu wanita serta masyarakat.
“Jadi, kita harap lebih ramai pihak memahami fungsi sebenar NGO kerana usaha kebajikan yang dilakukan dapat memberi manfaat kepada golongan sasar secara berkesan,” katanya.
Bagi Setiausaha PLASMA, Yna Sidek, 43, sokongan yang lebih konkrit amat diperlukan agar perjuangan tidak terhenti di tengah jalan.
“Kalau kita mahu NGO wanita terus hidup dan berperanan, semua pihak perlu membantu.
“Sokongan bukan sahaja dalam bentuk kewangan, tetapi juga pengiktirafan dan kerjasama,” tegasnya.
PLASMA ditubuhkan untuk membantu mereka yang memerlukan, dan menurut Yna, suara wanita harus terus didengari.
Beliau juga menyeru generasi muda agar lebih aktif menyertai program serta mendukung usaha memacu perubahan positif.
Ringkasan AI
- Perjuangan Pertubuhan Salam Wanita Muslimah Pahang (PLASMA) dalam membantu masyarakat berhadapan dengan kekurangan dana, tenaga kerja, dan sokongan pelapis muda
- Kekurangan dana menjadi penghalang utama dalam merealisasikan program bantuan untuk asnaf miskin bandar, sahabat mualaf, dan gelandangan
- PLASMA mencari solusi kreatif seperti menjalin kerjasama dengan agensi kerajaan, syarikat korporat dan masyarakat setempat untuk mendapatkan dana
- Peranan generasi muda dilihat kritikal dalam memastikan kelangsungan kepimpinan dan tenaga penggerak pertubuhan
- Persepsi masyarakat terhadap NGO bercampur-campur, memerlukan pemahaman yang lebih mendalam tentang sumbangan NGO dalam isu sosial dan kebajikan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

