Suara lantang Malaysia demi kemanusiaan di Gaza

SHAH ALAM – Ketegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Sidang Tergempar Arab-Islam di Doha, pada Isnin mengenai Gaza jelas membuktikan Malaysia tidak gentar dalam mempertahankan kebenaran dan keadilan sejagat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, pendirian itu bukan sahaja mencerminkan dasar luar negara yang prihatin malah selari dengan nilai kemanusiaan yang menjadi tunjang kepada agama dan akhlak umat Islam.
“Setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada Perdana Menteri atas pendirian tegas beliau membawa suara negara dalam mengecam serangan Israel dan memperjuangkan nasib rakyat Gaza.

“Saya optimis dan yakin bahawa pendirian berani ini akan memperkasa suara Malaysia di persada antarabangsa serta membuka mata dunia terhadap kekejaman yang sedang berlaku,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Mohd Na’im menambah, semoga usaha murni itu mendapat keberkatan dan terus menjadi inspirasi buat semua.
Media sebelum ini melaporkan Anwar menegaskan kecaman dan pengisytiharan semata-mata tidak akan menghentikan peluru berpandu Israel mahupun membebaskan Palestin.
Sebaliknya beliau berkata, tindakan seberat-beratnya mesti segera dilaksanakan termasuk menghentikan pertemuan diplomatik dan memutuskan hubungan perdagangan dengan Israel.
Ringkasan AI
- Ketegasan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Sidang Tergempar Arab-Islam di Doha menunjukkan Malaysia tidak takut mempertahankan kebenaran dan keadilan
- Pendirian Malaysia mencerminkan dasar luar negara yang prihatin dan selari dengan nilai kemanusiaan serta akhlak Islam
- Perdana Menteri menerima pujian atas pendiriannya yang tegas dalam mengecam serangan Israel dan memperjuangkan nasib rakyat Gaza
- Pendirian berani Malaysia dijangka memperkukuh suara negara di arena antarabangsa dan membuka mata dunia terhadap kekejaman terhadap rakyat Gaza
- Anwar menyatakan perlunya tindakan konkret selain kecaman, termasuk menghentikan pertemuan diplomatik dan memutuskan hubungan perdagangan dengan Israel
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
