Covid-19: Kes kematian keempat direkod di negara ini

Noor Hisham
Noor Hisham
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Malaysia mencatatkan kes kematian keempat akibat Covid-19 hari ini membabitkan kes ke-238 iaitu seorang lelaki berusia 50 tahun daripada kluster jemaah tabligh.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pesakit tersebut dimasukkan ke Hospital Melaka pada 12 Mac lalu dengan gejala Severe Acute Respiratory Infection.

Menurutnya, pesakit itu diberikan bantuan mesin pernafasan pada hari kelima kemasukan di wad isolasi dan tahap kesihatan semakin merosot ketika dalam penjagaan di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebelum meninggal dunia jam 1.30 pagi tadi.

“Dukacita dimaklumkan sepanjang tempoh 24 jam yang lalu, terdapat dua kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan menjadikan jumlah kumulatif kes kematian sebanyak empat.

“Kes kematian ketiga dimaklumkan melalui siaran di laman Facebook Ketua Pengarah Kesihatan malam tadi melibatkan kes ke-152 yang merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 58 tahun daripada kluster jemaah tabligh.

“Pesakit kes ini dirawat di ICU Hospital Tawau dan disahkan meninggal dunia pada jam 6.27 petang,” katanya pada sidang media yang disiarkan secara langsung di Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini.

Dalam pada itu beliau memaklumkan bahawa kes positif Covid-19 di negara ini mencatat peningkatan apabila 153 kes baharu dilaporkan setakat 12 tengah hari tadi menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 1,183 kes.

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, daripada jumlah itu sebanyak 90 kes adalah berkaitan dengan kluster perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Sri Petaling.

Artikel Berkaitan:

"Sehingga kini, seramai 37 kes positif Covid-19 sedang dirawat di ICU termasuk 23 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Terdapat 27 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya dan discaj daripada wad adalah sebanyak 114 kes,” katanya.

Berhubung penularan wabak itu dalam kalangan anggota kesihatan, Dr Noor Hisham berkata, sehingga kini seramai 19 kakitangan KKM dan lima petugas daripada fasiliti kesihatan swasta disahkan dijangkiti Covid-19.

Menurutnya, dua daripada kakitangan KKM tersebut kini sedang dirawat di ICU dan punca jangkitan bukan disebabkan oleh ketidakpatuhan mereka semasa mengendalikan kes Covid-19 di peringkat fasiliti masing-masing.

“Hasil siasatan yang dijalankan mendapati kesemua mereka merupakan kontak rapat generasi pertama dan kedua melibatkan kluster jemaah tabligh.

“Sehingga 14 Mac 2020, bilangan anggota KKM yang telah menjalani ujian saringan pengesanan Covid-19 adalah seramai 337 orang.

“Dari jumlah tersebut, 251 orang didapati negatif manakala baki 86 lagi masih menunggu keputusan,” katanya.

Bagi mengesan para peserta yang menyertai majlis perhimpunan tabligh, Dr Noor Hisham berkata, pihak Suruhanjaya Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) turut bekerjasama dengan pihak Muslim Relief Agency dan MERCY Malaysia (IMARET) selaku rakan kongsi pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Menurutnya, KKM juga menjalankan aktiviti itu melalui penglibatan anggota di peringkat Pejabat Kesihatan Daerah dalam menyalurkan maklumat mengenai jangkitan Covid-19 kepada golongan pelarian dan pencari suaka.