Rancang bina loji WTE ketiga

MALAYSIA berdepan krisis pengurusan sisa apabila majoriti sampah terus dihantar ke tapak pelupusan dengan hanya sebahagian kecil dikitar semula, kata Pengurus Besar Operasi KDEB Waste Management (KDEBWM), Idris Mohamed Yusof.
Beliau memberi amaran negara berisiko berdepan isu tanah tercemar, air bawah tanah terjejas dan kawasan tidak boleh digunakan selama berdekad jika hierarki sisa tidak dibetulkan.
“Di Malaysia, piramid sisa kita terbalik. Sebahagian besar sisa terus dihantar ke tapak pelupusan, hanya sebahagian kecil sahaja dikitar semula. Inilah isu utama yang kita hadapi, dan ia jelas tidak mampan,” katanya kepada Media Selangor.
Beliau menjelaskan jumlah kutipan sisa di Selangor meningkat daripada 6,500 tan sehari (2016) kepada hampir 10,000 tan (2024) dan dijangka mencecah 10,800 tan sehari menjelang 2027, dipacu kepesatan proses perbandaran di Klang, Petaling Jaya, Kajang serta Ampang Jaya.
Idris menegaskan pendekatan lama membuka lebih banyak tapak pelupusan tidak lagi relevan, sebaliknya Malaysia perlu mengutamakan kitar semula, pemulihan tenaga, dan meminimumkan sisa ke tapak pelupusan.
Beliau mencadangkan model bank sampah seperti di Surabaya, Indonesia, yang memberi ganjaran kewangan kecil untuk bahan kitar semula, disokong dengan pembinaan loji tenaga daripada sisa (WTE) seperti Loji Tenaga Hijau Sultan Idris Shah (Sisgep) di Rawang dan Jeram.
Jelas Idris lagi, pendekatan sama boleh dipraktikkan di Malaysia, di samping membangunkan ekonomi kitaran sepenuhnya dalam pengurusan sisa, disokong pematuhan dan penguatkuasaan alam sekitar yang kukuh.
“Mentaliti mereka berbeza. Bagi mereka, sepuluh sen untuk sebotol ada nilainya. Di sini, kita pandang ia tiada apa-apa.”
“Itulah sebabnya (kerjasama) tiga pihak sangat penting: penjana sisa seperti anda dan saya, pengutip seperti KDEBWM, dan penguat kuasa seperti pihak berkuasa tempatan (PBT). Pengutip sentiasa dipersalahkan kerana paling kelihatan, tetapi isu sebenar bermula dengan tabiat,” kata beliau lagi.
Beliau turut yakin teknologi WTE adalah penyelesaian paling mampan bagi menangani krisis berkenaan untuk jangka panjang.
Sisgep adalah usaha sama bernilai RM4.5 bilion antara KDEBWM dan YTL Power Generation Sdn Bhd yang akan memproses sehingga 2,400 tan sisa setiap hari menggunakan teknologi 'moving-grate'.
Kos lupus meningkat
Langkah berkenaan turut menyasar pengurangan sisa di tapak pelupusan sehingga 90 peratus, menjana 58 megawatt (MW) elektrik boleh diperbaharui selain mewujudkan lebih 1,500 pekerjaan semasa pembinaan dan lebih 100 jawatan operasi tetap.
Namun, menurut Idris, kekangan kewangan kekal cabaran utama kerana KDEBWM hanya menerima sekitar RM7 hingga RM8 setiap tan kutipan berbanding RM14 hingga RM15 kepada konsesi lain sekali gus menyukarkan pelaburan dalam penyelesaian hijau.
Jelas beliau lagi, penguatkuasaan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 juga penting bagi membuka akses dana persekutuan serta meningkatkan kadar kitar semula negara.
Selangor kini meneroka pembangunan loji WTE ketiga bersama projek tenaga hijau baharu, yang berkemungkinan dimasukkan dalam Belanjawan Negeri 2026 yang akan dibentangkan pada November.
Exco Kerajaan Tempatan Datuk, Ng Suee Lim berkata, inisiatif ini akan melengkapi dua loji WTE yang sedang dibina di Jeram dan Rawang, yang digabungkan berkapasiti memproses sehingga 5,000 tan sampah setiap hari.
Pelaburan dalam penyelesaian berteknologi tinggi amat mendesak kerana Selangor tidak boleh bergantung kepada tapak pelupusan sampah selama-lamanya di tengah pertambahan jumlah sisa serta kos yang kian meningkat.
“Berbanding kontraktor lain, bayaran kontrak pengurusan sisa kita adalah yang terendah. Ini memberi beban besar untuk menampung pelaburan.
“Kami hanya mahu orang ramai tahu bahawa kutipan cukai taksiran yang diterima tidak mencukupi. Memang benar loji WTE memerlukan kos permulaan yang lebih tinggi, tetapi ia penting untuk pembangunan mampan, perlindungan alam sekitar, serta masa depan rakyat,” katanya.
Suee Lim menambah perbelanjaan pengurusan sisa kini memakan kira-kira 30 peratus daripada peruntukan PBT, dengan amaran ia boleh meningkat sehingga 60 peratus sekiranya kaedah lama diteruskan, sekali gus mengehadkan kemampuan PBT dalam memberi perkhidmatan berkualiti.
Ringkasan AI
- Malaysia berdepan krisis pengurusan sisa dengan majoriti sampah dihantar ke tapak pelupusan dan hanya sebahagian kecil dikitar semula
- Krisis pengurusan sisa mengancam tanah tercemar, air bawah tanah terjejas dan kawasan tidak boleh digunakan selama berdekad
- Pendekatan membuka lebih banyak tapak pelupusan tidak lagi relevan, perlu mengutamakan kitar semula dan pemulihan tenaga
- Dicadangkan model bank sampah dan pembinaan loji tenaga daripada sisa untuk menggalakkan kitar semula dan meminimumkan sisa ke tapak pelupusan
- Kekangan kewangan menjadi cabaran utama dalam pelaburan penyelesaian hijau, menekankan keperluan untuk peningkatan kadar kitar semula melalui penguatkuasaan undang-undang
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
