UMANY disiasat berkaitan gesaan mansuh matrikulasi

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan berhubung kenyataan Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (UMANY) yang menggesa pemansuhan program matrikulasi baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Komisioner Datuk M Kumar berkata, laporan polis pertama diterima pada 12 September lalu selepas kenyataan itu disiarkan sebuah portal berita melalui Presiden UMANY, Tang Yi Ze.
"Kenyataan itu dipercayai boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap sistem pendidikan negara selain mencetuskan rasa tidak puas hati masyarakat serta kegentaran awam.
"Setakat kini, empat lagi laporan polis turut diterima daripada pihak yang tidak berpuas hati dengan kenyataan terbabit," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
"Seksyen 505(b) memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya bagi kesalahan mengeluarkan kenyataan yang boleh mendatangkan khianat awam.
"Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 pula melibatkan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian dengan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara hingga dua tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.
Menurutnya, PDRM tidak akan berkompromi dalam menangani sebarang kenyataan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.
"Pihak polis akan menjalankan siasatan sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang.
"Orang ramai juga dinasihatkan supaya berhemah dan bertanggungjawab ketika mengeluarkan sebarang kenyataan di ruang awam mahupun di media sosial," katanya.
Sebelum ini, UMANY menerusi presidennya, Tang Yi Ze menyerahkan memorandum kepada Kementerian Pendidikan Tinggi yang menuntut program matrikulasi dimansuhkan dan menjadikan silibus STPM sebagai piawaian tunggal kemasukan ke universiti awam (UA) bagi jurusan ijazah.
Memorandum tersebut dikemukakan susulan laporan media mengenai Edward Wong, lepasan STPM yang memperoleh CGPA 4.0 serta bercita-cita menjadi akauntan, namun ditolak enam universiti.
Dalam pada itu, UMANY menjelaskan cadangan peperiksaan bersepadu tetap akan mengambil kira keperluan golongan kurang bernasib baik bagi memastikan nilai keadilan sosial dizahirkan dalam proses kemasukan.
Pihaknya yakin apabila peperiksaan bersepadu dilaksanakan, kerajaan boleh menetapkan kuota khusus untuk membantu golongan yang memerlukan agar mereka diberi keutamaan.
Bagaimanapun UMANY kemudiannya memohon maaf serta tampil memberi penjelasan berhubung cadangan berkenaan selepas menerima kecaman daripada pelbagai pihak termasuk pemimpin politik, persatuan mahasiswa dan pihak institusi pengajian tinggi.
Ringkasan AI
- PDRM menjalankan siasatan terhadap Persatuan Belia Baru Universiti Malaya berhubung gesaan pemansuhan program matrikulasi
- Laporan polis pertama diterima pada 12 September berikutan kenyataan diterbitkan sebuah portal berita
- Kenyataan tersebut boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap sistem pendidikan dan mencetuskan ketidakpuasan serta kegentaran awam
- Kes disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998
- UMANY memohon maaf dan memberikan penjelasan selepas cadangan pemansuhan program matrikulasi mendapat kecaman
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

