Minyak wangi, krim penjagaan kulit tiruan RM1.43 juta dirampas

KPDN melaksanakan serbuan dua premis di Kuala Lumpur melibatkan kes penjualan minyak wangi dan krim penjagaan kulit tiruan pada Khamis.
KPDN melaksanakan serbuan dua premis di Kuala Lumpur melibatkan kes penjualan minyak wangi dan krim penjagaan kulit tiruan pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Minyak wangi dan krim penjagaan kulit tiruan yang menggunakan jenama terkenal bernilai RM1.43 juta dirampas dalam serbuan di dua premis di sini pada Khamis.

Serbuan hasil maklumat serta risikan dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur dengan kerjasama wakil pemilik cap dagangan.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Kuala Lumpur, Mohd Shahran Mohd Arshad berkata, pemeriksaan mendapati kedua-dua premis disyaki memiliki, menjual, menawarkan atau mendedahkan untuk jualan barangan yang dipakaikan cap dagangan secara salah.

Menurutnya, semasa serbuan dijalankan, kedua-dua premis didapati beroperasi dan mempunyai pekerja serta pemilik yang juga warga tempatan.

"KPDN telah membuat sitaan ke atas 20,357 unit barangan melibatkan minyak wangi dan krim penjagaan kulit berjenama terkenal berjumlah RM1,433,062.

"Siasatan awal turut mendapati bahawa kedua-dua premis berkenaan telah beroperasi sejak kira-kira dua tahun lalu dan bekalan barangan berkenaan diperolehi daripada pembekal dari luar negara sebelum dipasarkan di pasaran tempatan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, premis disyaki menjalankan aktiviti penjualan barangan berkenaan kepada pelanggan sekitar Lembah Klang.

Tambahnya, jualan barangan itu juga aktif melalui platform dalam talian kepada pelanggan di seluruh negara.

"Dua kertas siasatan telah dibuka di bawah Akta Cap Dagangan 2019 dan tujuh warga tempatan telah ditahan untuk siasatan lanjut," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Tegasnya, KPDN Kuala Lumpur akan terus mempergiatkan aktiviti penguatkuasaan undang-undang harta intelek di bawah Akta Cap Dagangan 2019, Akta Perihal Dagangan 2011 dan Akta Hak Cipta 1987 secara berterusan dalam membanteras penjualan barangan tiruan.

"Pihak kementerian mengalu-alukan kerjasama berterusan daripada wakil Pemilik Cap Dagangan yang berdaftar bagi meningkatkan lagi kerjasama berterusan untuk membanteras aktiviti pengedaran serta penjualan barangan tiruan di pasaran.

"Usaha membanteras penyalahgunaan cap dagangan ini juga melibatkan komitmen negara kita di peringkat antarabangsa serta menyokong usahasama kita setelah menyertai Protokol Madrid yang berkuatkuasa pada 27 Disember 2019," ujarnya.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!