Dua sindiket kecundang, dadah RM193 juta dirampas

KUALA LUMPUR – Polis menumpaskan dua sindiket pengedaran dadah antarabangsa dan tempatan selepas menahan enam individu termasuk dalang utama, dengan nilai rampasan dadah mencecah RM193.25 juta.
Penahanan kesemua suspek dilakukan menerusi operasi khas Op Allograpta dan Op Apiocera yang dijalankan bermula 30 Januari hingga 3 Februari lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, dua serbuan Op Apiocera di Kepong, Kuala Lumpur dan Subang Jaya, Selangor merekodkan rampasan dadah bernilai RM180 juta.
Menurutnya, polis menemukan pelbagai jenis dadah iaitu serbuk MDMA seberat 843.8 kilogram (kg), pil Erimin 5 (325.2kg), pil ekstasi (104.3kg), ketamin (97.7kg) dan methamphetamine (9.5kg).
“Operasi ini telah menahan tiga individu terdiri daripada seorang lelaki tempatan, seorang wanita tempatan dan seorang wanita warga asing berusia antara 38 hingga 58 tahun.
“Suspek lelaki merupakan ketua sindiket yang mengatur gerak kerja pengedaran dadah di pasaran tempatan dan luar negara dengan dibantu seorang wanita warga asing yang juga kekasihnya,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada Jumaat.

Menurut Hussein, sindiket yang aktif sejak awal Januari lalu itu menjadikan rumah sewa di kawasan Lembah Klang sebagai lokasi penyimpanan dadah.
Katanya, pihak polis turut menyita tiga kenderaan mewah termasuk Toyota Alphard, Honda Accord dan Perodua Myvi dengan nilai sitaan harta berjumlah RM118,800.
Mengulas mengenai Op Allograpta yang dilancarkan pada 30 Januari lalu, beliau berkata tiga lelaki tempatan berusia antara 40 hingga 48 tahun ditahan dengan rampasan dadah jenis methamphetamine seberat 265 kg bernilai RM13.25 juta.
Hussein berkata, ketiga-tiga suspek termasuk ketua sindiket ditahan di kawasan Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Genting Sempah, Pahang, selain serbuan susulan di kawasan parkir sekitar Kuchai Lama, Kuala Lumpur.
“Modus operandi sindiket yang aktif sejak 2024 ini ialah menggunakan kereta sewa untuk membawa dadah dari Kelantan ke Lembah Klang.

“Kenderaan berisi dadah itu kemudiannya ditinggalkan di kawasan parkir tertentu sebelum diambil oleh ahli sindiket lain tanpa perlu bersua muka,” ujarnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Tegas beliau, kejayaan berkenaan hasil risikan berterusan pihak polis dalam usaha membanteras aktiviti penyeludupan dadah, dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak termasuk ‘jerung’ dadah demi menjaga keselamatan serta imej negara.
Ringkasan AI
- Polis menumpaskan dua sindiket pengedaran dadah dengan menahan enam individu termasuk dalang utama, nilai rampasan dadah RM193.25 juta
- Operasi khas mencakupi dua serbuan di Kepong, Kuala Lumpur dan Subang Jaya, Selangor dengan rampasan bernilai RM180 juta
- Pelbagai jenis dadah dirampas termasuk serbuk MDMA, pil Erimin 5, pil ekstasi, ketamin dan methamphetamine
- Ketua sindiket adalah lelaki tempatan yang dibantu kekasih wanita warga asing, menggunakan rumah sewa di Lembah Klang sebagai lokasi penyimpanan
- Tiga kenderaan mewah disita dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
