Tanah runtuh: Dua lagi mayat ditemukan, angka kematian meningkat 9 orang

KOTA KINABALU - Dua mangsa terakhir yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Cenderakasih, Kolombong di sini ditemui meninggal dunia, sekali gus menjadikan angka korban tanah runtuh di Sabah seramai sembilan orang.
Mangsa terakhir merupakan seorang kanak-kanak perempuan dikenali sebagai Nur Iman berusia sembilan tahun dan Maslinah Abdul Halid berusia 24 tahun.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Mohd Pisar Aziz berkata, kedua-dua mangsa masing-masing ditemui pada jam 3.28 petang dan 3.42 petang.

"Lima dilaporkan telah meninggal dunia selepas berjaya dikeluarkan daripada runtuhan dan dua lagi mangsa yang baru ditemui melibatkan seorang kanak-kanak dan seorang wanita dewasa.
"Jumlah keselurahan bagi kejadian tanah runtuh di Kampung Cenderakasih, Kolombong seramai tujuh mangsa manakala dua beranak lagi melibatkan mangsa di Kampung Sook, Papar," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, operasi di Kampung Cenderakasih yang melibatkan seramai 24 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas dan Tuaran serta Unit K9 dan Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (Storm) telah ditamatkan pada jam 3.46 petang.

Sebelum ini, lima mangsa lain yang maut akibat tertimbus di Kampung Cenderakasih, Kolombong, dikenali sebagai Husaima Sarabani, 40; Abdul Halid Darak, 50; Muhammad Izzan Abdullah, 7; Siti Katijah Abdullah, 4 dan Muhammad Khan Abdullah, 2.
Mangsa yang selamat pula dikenali sebagai Arman Abdullah, 18, Wajid, 16, dan Fezrul Ikhwan, 15, manakala Abdullah Ayan, 20, cedera di bahagian kaki.
Sementara itu, dua mangsa tertimbus di Kampung Sook, Papar dikenali sebagai Emily Johnny, 38, dan anak lelakinya Xarell Myre, 11.
Ringkasan AI
- Dua mangsa terakhir tanah runtuh di Kampung Cenderakasih, Kolombong ditemui meninggal dunia menjadikan jumlah korban seramai sembilan orang
- Mangsa terakhir adalah Nur Iman, 9 tahun, dan Maslinah Abdul Halid, 24 tahun
- Operasi penyelamat melibatkan 24 anggota bomba ditamatkan pada jam 3.46 petang
- Lima mangsa lain di Kampung Cenderakasih ialah Husaima Sarabani, Abdul Halid Darak, Muhammad Izzan Abdullah, Siti Katijah Abdullah, dan Muhammad Khan Abdullah
- Dua mangsa di Kampung Sook, Papar ialah Emily Johnny dan anak lelakinya Xarell Myre
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
