Tanah runtuh: Jumlah mangsa maut tertimbus meningkat tujuh orang


KOTA KINABALU - Jumlah mangsa yang maut akibat tertimbus susulan kejadian tanah runtuh di negeri ini meningkat kepada tujuh orang setakat jam 3.30 petang Isnin.
Identiti mangsa tanah runtuh di Kampung Cenderakasih, Kolombong di sini yang maut telah dikenal pasti melibatkan tiga kanak-kanak dan selebihnya dewasa.
Mangsa maut dikenali sebagai Husaima Sarabani, 50, ditemui pada jam 12.37 tengah hari manakala Abdul Khalid, 50-an, Muhammad Izzan, 7, Siti Katijah, 4, dan Muhamad Khan, 2, ditemui pada jam 2.25 petang.
Dalam kejadian itu, seorang lelaki yang terselamat mengalami cedera patah kaki dan telah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth II (HQEII) manakala tiga lagi lelaki berjaya keluar sendiri dan mendapat rawatan pasukan perubatan.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Mohd Pisar Aziz berkata, kejadian di Kampung Cenderakasih melibatkan 11 mangsa secara keseluruhan.
"Tanah runtuh telah menghempap sebuah rumah dan setakat ini empat mangsa berjaya keluar dengan selamat manakala lima lagi mangsa tertimbus ditemui oleh pasukan penyelamat.
"Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Sementara itu, dua lagi mangsa dilaporkan maut dalam insiden tanah runtuh berasingan di Kampung Mook, Papar, yang turut menghempap tiga rumah.
Mangsa dikenal pasti sebagai Emily Johnny, 38, dan Xarell Myre Aristhotle, 11.
Sebelum itu, hujan berterusan sejak Ahad menyebabkan beberapa kawasan terjejas dengan banjir dan tanah runtuh.
Ketika ini, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah telah mengisytiharkan beberapa daerah sebagai kawasan bencana banjir, termasuk Penampang, Tawau, Beaufort, Papar, Ranau dan Putatan.
Kota Kinabalu turut mengalami banjir, namun belum sampai ke tahap untuk diisytiharkan sebagai kawasan bencana.
Jumlah mangsa yang terjejas masih belum dapat dipastikan kerana sebahagiannya hanya berdepan banjir tetapi belum memerlukan penempatan di pusat pemindahan sementara (PPS).
Pihak kerajaan negeri juga belum mengeluarkan angka rasmi setakat ini.
Sehingga jam 12 tengah hari, enam daerah telah membuka PPS iaitu Papar, Penampang, Tawau, Beaufort, Putatan dan Ranau.
Ringkasan AI
- Jumlah mangsa maut akibat tanah runtuh di Kota Kinabalu meningkat kepada tujuh orang
- Mangsa melibatkan tiga kanak-kanak dan selebihnya dewasa dengan identiti dikenal pasti
- Seorang lelaki terselamat mengalami kecederaan patah kaki
- Terjadi di Kampung Cenderakasih, Kolombong dan Kampung Mook, Papar akibat hujan berterusan sejak Ahad
- Enam daerah telah membuka pusat pemindahan sementara akibat banjir
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
