Jarum, benang dan bau gam 'sahabat' setia Ganisuaren

KUANTAN – Jarum tajam, benang tebal dan bau gam yang menusuk hidung sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan harian seorang tukang kasut di kaki lima berhampiran Pasar Besar Kuantan.
S Ganisuaren, 58, berkata, tiga perkara itu bukan sekadar peralatan kerja tetapi ‘sahabat setia’ yang menemaninya setiap hari demi mencari rezeki untuk menyara kehidupan.
Menurutnya, kerja menjahit kasut memerlukan ketelitian dan kesabaran kerana setiap kasut yang dihantar pelanggan mempunyai kerosakan berbeza.
“Orang nampak mudah tapi sebenarnya ia perlukan fokus dan kalau salah jahit kena buka semula serta jahit balik.
“Itu ambil masa, tenaga dan kadang-kadang pula tercucuk jarum sampai sakit tapi saya sudah biasa demi mencari rezeki,” katanya ketika ditemui pada Isnin.

Dia yang masih bujang memberitahu, minat menjahit kasut timbul selepas kerap melihat seorang rakan bekerja sebelum perlahan-lahan mencuba sendiri.
Namun, Ganisuaren tidak menyangka usaha yang bermula secara suka-suka itu akhirnya menjadi pekerjaan tetap yang bukan sahaja menyara hidupnya, tetapi memberi makna besar dalam hidupnya.
Tambahnya, harga jahitan beremula sekitar RM15 hingga RM18 sepasang manakala gantian tapak kasut pula antara RM65 hingga RM75.
“Kalau hari baik, saya boleh dapat RM20 hingga RM30.
“Ada juga hari nak dapat RM10 pun susah tapi saya tetap bersyukur,” katanya yang menyewa tapak kecil itu dengan bayaran RM30 sebulan lengkap dengan permit daripada pihak berkuasa tempatan.
Menjawab mengenai cabaran yang dihadapinya, Ganisuaren memberitahu, antara perkara yang sering berlaku ialah pelanggan tidak datang mengambil kasut selepas siap dibaiki, selain rungutan daripada segelintir pelanggan mengenai hasil kerja.
“Saya simpan kasut-kasut itu elok-elok, mana tahu satu hari mereka datang ambil.
“Kalau ada yang komplen jahitan tidak cantik, saya cuba betulkan sebab saya mahu mereka puas hati,” katanya.
Ringkasan AI
- Jarum tajam, benang tebal dan bau gam adalah peralatan kerja penting bagi tukang kasut di kaki lima Kuantan
- S Ganisuaren berpengalaman dalam menjahit kasut dengan ketelitian dan kesabaran demi mencari rezeki
- Minat menjahit kasutnya bermula setelah sering melihat rakan bekerja dan akhirnya menjadikan menjahit kasut sebagai pekerjaan tetap
- Pendapatan harian Ganisuaren berubah-ubah, kadangkala hanya RM10 tetapi masih bersyukur dengan apa yang diperoleh
- Cabaran termasuk pelanggan yang tidak mengambil kasut yang telah dibaiki dan rungutan mengenai hasil jahitan yang tidak memuaskan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

