Tukang kebun maut terminum racun disangka air minuman

Seorang tukang kebun maut selepas dipercayai terminum racun ketika melakukan kerja-kerja meracun di sebuah kebun kelapa sawit.
Seorang tukang kebun maut selepas dipercayai terminum racun ketika melakukan kerja-kerja meracun di sebuah kebun kelapa sawit.
A
A
A

SABAK BERNAM - Seorang tukang kebun maut selepas dipercayai terminum racun ketika melakukan kerja-kerja meracun di sebuah kebun kelapa sawit di Sungai Air Tawar di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Md Yusof Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kematian lelaki warga tempatan berusia 42 tahun itu kira-kira jam 6.47 petang Khamis.

Menurut beliau, hasil siasatan awal mendapati mangsa dipercayai terminum racun yang disangka air minuman pada sebelah pagi waktu kejadian.

"Racun itu berada dalam botol air mineral dan mangsa ketika itu menjalankan kerja meracun sawit di sekitar kebun jagaannya," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Bagaimanapun, katanya, mangsa kemudian mengadu sakit pada hari sama dan mendapatkan rawatan lanjut di hospital berdekatan.

Menurut Md Yusof, proses bedah siasat telah dijalankan oleh pegawai perubatan Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh.

Kata beliau, punca sebenar kematian belum dapat disahkan kerana perlu menunggu keputusan laporan makmal.

"Kes ketika ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR)," ujarnya.

Tegas beliau, orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi dan memberi ruang kepada pihak berkuasa bagi menjalankan siasatan secara menyeluruh.

Artikel Berkaitan:

"Mereka yang mempunyai maklumat mengenai kejadian boleh menyalurkannya kepada polis bagi membantu siasatan," tambah beliau.

 

 

Ringkasan AI

  • Seorang tukang kebun maut dipercayai terminum racun di sebuah kebun kelapa sawit di Sungai Air Tawar, Sabak Bernam
  • Kematian lelaki warga tempatan berusia 42 tahun itu dilaporkan pada jam 6.47 petang Khamis
  • Mangsa dipercayai terminum racun yang disangka air minuman ketika melakukan kerja meracun sawit
  • Mangsa mengadu sakit pada hari sama dan mendapatkan rawatan lanjut di hospital berdekatan
  • Punca sebenar kematian belum dapat disahkan, menunggu keputusan laporan makmal, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR)

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!