'Mana kami nak pergi' - Penduduk Jinjang Baru rayu henti pengusiran

Seramai 37 keluarga di penempatan setinggan di Lot 56167, Mukim Batu, Jalan 11/32, Taman Jinjang Baru buntu apabila diarahkan mengosongkan rumah.
Seramai 37 keluarga di penempatan setinggan di Lot 56167, Mukim Batu, Jalan 11/32, Taman Jinjang Baru buntu apabila diarahkan mengosongkan rumah.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Seramai 37 keluarga di penempatan setinggan di Lot 56167, Mukim Batu, Jalan 11/32, Taman Jinjang Baru di sini buntu apabila diarahkan mengosongkan rumah yang didiami lebih 60 tahun pada 23 September ini.

Aktivis Khidmat Komuniti Kepong, Yee Poh Ping berkata, penduduk menerima notis pengosongan daripada Mahkamah Tinggi yang disalurkan melalui Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG).

Poh Ping
Poh Ping

“Selama ini, mana-mana penempatan yang terlibat dengan pembangunan lazimnya melalui proses perundingan serta perbincangan mengenai pampasan. Tetapi dalam kes kami, perkara itu langsung tidak berlaku.

“Kawasan ini sebelum ini dikategorikan sebagai tapak rizab sekolah, namun kini difahamkan telah disewakan kepada pihak swasta selama tiga tahun bagi tujuan komersial.

"Ini sesuatu yang tidak masuk akal kerana tapak untuk kepentingan awam akhirnya diserahkan kepada individu tertentu, sedangkan 150 penduduk di kawasan ini terpaksa menanggung derita,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini pada Isnin.

Beliau turut melahirkan rasa kesal kerana bukan sahaja rumah, malah sebuah tokong dan rumah ibadat turut terkesan dengan arahan pengosongan itu.

“Selepas lebih 60 tahun mendiami kawasan ini, tiba-tiba kami dihalau keluar begitu sahaja tanpa pampasan yang sewajarnya. Kami mohon Kerajaan Madani meneliti semula perkara ini,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Seorang penduduk, Wong Pak Siong, 58, yang tinggal bersama empat ahli keluarga berkata, beliau bimbang tidak mampu menanggung kos tinggi untuk berpindah kerana masih belum mendapat kelulusan rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang dipohon.

Penduduk telah menerima notis pengosongan daripada Mahkamah Tinggi yang disalurkan melalui JKPTG pada akhir tahun lalu.
Penduduk telah menerima notis pengosongan daripada Mahkamah Tinggi yang disalurkan melalui JKPTG pada akhir tahun lalu.

“Selepas ini, mana mahu pergi? Kita mohon PPR, tapi sekarang belum dapat lagi. Sekarang hukuman mahu halau kita keluar, mana mahu pergi? Nak pindah perlukan wang, panggil lori pun RM1,000, sewa rumah pula mencecah RM3,000,” katanya yang bekerja sebagai tukang besi.

Bagi Tan Poh Leng, 52, yang sudah menetap di kawasan itu lebih 50 tahun, beliau mengakui tiada sebarang perancangan selepas diarahkan berpindah.

“Saya lahir dan membesar di sini. Tapi sekarang rumah pun nak kena kosongkan. Wakil rakyat pun tak bantu. Katanya ada pampasan RM5,000 tapi kami semua tak tahu menahu,” ujarnya.

Poh Len turut meluahkan rasa kecewa terhadap Ahli Parlimen kawasan berkenaan yang didakwa menyokong penyewa baharu tapak tersebut.

“Selepas 23 haribulan ini, kami nak pergi mana? Rumah PPR langsung tak ada jawapan dan saya hanya B40, gaji yang ada pun tak mampu nak pindah rumah,” ujarnya.

Sementara itu, Ng Choy Hong, 64, yang menetap bersama suami dan seorang anak berkata, arahan pengosongan itu amat menekan kerana mereka belum mendapat penempatan baharu.

“Mereka datang hantar surat dan beri amaran jika kami tak pindah, polis dan lori akan datang. Tapi kami belum ada tempat untuk pergi.

“Kami bina rumah dan besarkan anak-anak di sini. Sekarang semuanya dalam keadaan tidak menentu,” katanya.

 

 

Ringkasan AI

  • Seramai 37 keluarga di penempatan setinggan di Kuala Lumpur diarahkan mengosongkan rumah yang didiami lebih 60 tahun
  • Penduduk menerima notis pengosongan dari Mahkamah Tinggi tanpa sebarang proses perundingan atau pampasan
  • Kawasan tersebut sebelum ini dikategorikan sebagai tapak rizab sekolah, kini disewakan kepada pihak swasta untuk tujuan komersial
  • Beberapa penduduk bimbang tidak mampu menanggung kos tinggi untuk pindah kerana tiada kelulusan rumah Projek Perumahan Rakyat
  • Penduduk melahirkan rasa kesal atas ketiadaan perancangan dan bantuan pampasan selepas pengosongan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!