Penduduk Kampung Sungai Baru rayu operasi pengosongan dibuat berperingkat

KUALA LUMPUR – Penduduk Kampung Sungai Baru di sini tidak menolak pembangunan, sebaliknya hanya meminta agar pelaksanaan pengosongan serta perobohan dibuat secara berperingkat.
Noraide Hariani Yunus, 43, berkata, dia kesal dengan operasi pengosongan 37 unit rumah teres di Kampung Sungai Baru pada Khamis.
"Tindakan itu dilihat tergesa-gesa kerana masih ada rayuan yang belum didengar oleh mahkamah yang akan diadakan pada 3 Oktober ini, selain sebahagian penduduk masih belum menerima pampasan.

“Rata-rata penduduk merayu agar pihak berkuasa memberi pertimbangan wajar dan mendengar keputusan rayuan terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan pengosongan dilaksanakan di kawasan tersebut," katanya ketika ditemui di lokasi pada Khamis.
Wanita itu berkata, sebahagian besar penduduk tidak menolak tawaran rumah ganti, namun kebanyakan unit yang ditawarkan adalah kondominium dengan kos penyelenggaraan bulanan lebih tinggi.
“Kami bukan orang muda lagi, ramai penduduk di sini warga emas dan pesara.
"Kalau duduk kondominium, kena bayar penyelenggaraan, bil utiliti lebih tinggi, sedangkan duit pampasan pun ada yang belum dapat sepenuhnya.
“Orang luar kata kami boleh balik kampung, tetapi di sinilah kampung kami sejak nenek moyang. Kalau diarah keluar, ke mana kami hendak pergi sementara rumah baharu belum siap?” jelasnya.
Tambahnya, ada keluarga yang terpaksa berkongsi pampasan antara enam ahli waris sehingga jumlah yang diterima tidak mencukupi untuk membeli rumah baharu.
Tinjauan di lokasi mendapati keadaan dikawal ketat pihak polis bagi mengelakkan sebarang provokasi yang boleh mengganggu kelancaran operasi.
Sebelum ini, media melaporkan isu pengambilan tanah Kampung Sungai Baru membabitkan 67 unit rumah teres dan 14 blok pangsapuri dikenali sebagai Flat Kampung Sungai Baru dengan proses pengambilan tanah bermula sejak 2016.
Sesetengah penduduk terutama penghuni rumah teres tidak bersetuju dengan kadar pampasan RM400 kaki persegi ditetapkan Pejabat Tanah dan Galian Persekutuan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
