Mydin lanjutkan waktu operasi, beri kemudahan pelanggan belanja bantuan SARA RM100

SHAH ALAM - Rangkaian pemborong dan peruncit halal terbesar tempatan, Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin) akan melanjutkan waktu operasi di 50 cawangan terpilih bermula jam 7 pagi hingga 1 pagi.
Pengarah Urusan Mydin, Datuk Wira Dr Ameer Ali Mydin berkata, lanjutan waktu operasi tersebut akan bermula Jumaat hingga Ahad pada 5, 6 dan 7 September ini.
“Langkah ini diambil kerana Mydin memahami keperluan pelanggan untuk mempunyai lebih masa berbelanja, khususnya bagi mereka yang mahu memanfaatkan bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM100 dan bantuan lain yang telah dikreditkan oleh kerajaan.
“Lanjutan tempoh operasi ini dijangka membolehkan pelanggan berbelanja dengan lebih selesa, teratur dan mengurangkan kesesakan,” katanya dalam kenyataan.

Ameer berkata, pihaknya kekal komited menyokong usaha kerajaan meringankan kos sara hidup rakyat dengan memastikan bekalan barangan asas mencukupi.
Terdahulu, bantuan SARA sebanyak RM100 secara sekali beri atau one-off mula disalurkan pada 31 Ogos lalu kepada semua warganegara dewasa berusia 18 tahun ke atas, bersempena sambutan Hari Kebangsaan 2025.
Bantuan tunai itu disalurkan terus melalui MyKad dan boleh digunakan untuk membeli barangan keperluan asas berdasarkan 14 kategori produk terpilih.
Ia boleh dibelanjakan di lebih 4,100 premis seluruh negara termasuk pasar raya seperti Mydin serta kedai runcit di semua daerah.
Jumlah peruntukan bagi program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA turut dinaikkan daripada RM13 bilion kepada RM15 bilion bagi tahun ini, menjadikannya kali pertama dalam sejarah bantuan tunai disalurkan kepada semua rakyat dewasa tanpa pengecualian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

