Kerajaan mendengar, jamin teliti penambahbaikan bantuan SARA - Kamil Munim

Muhammad Kamil menyantuni kanak-kanak yang hadir memeriahkan Karnival Kita Anak Malaysia (KAMI) 2025 di pusat beli-belah Mydin Meru Raya pada Sabtu.
Muhammad Kamil menyantuni kanak-kanak yang hadir memeriahkan Karnival Kita Anak Malaysia (KAMI) 2025 di pusat beli-belah Mydin Meru Raya pada Sabtu.
A
A
A

IPOH - Kerajaan memberi jaminan akan meneliti setiap pandangan dan cadangan rakyat berkaitan penambahbaikan pelaksanaan bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, perkara itu termasuklah cadangan perluasan barangan yang boleh dibeli melalui kemudahan bantuan berkenaan.

"Kerajaan hari ini ialah kerajaan yang mendengar.

"Saya percaya isu perluasan kedai atau barangan yang jatuh dalam kategori boleh dibayar menggunakan bantuan SARA akan diberi perhatian oleh Kementerian Kewangan dan akan diumumkan kemudian, insya-ALLAH," katanya.

Muhammad Kamil ketika berucap merasmikan Karnival Kita Anak Malaysia (KAMI) 2025 di pusat beli-belah Mydin Meru Raya pada Sabtu.
Muhammad Kamil ketika berucap merasmikan Karnival Kita Anak Malaysia (KAMI) 2025 di pusat beli-belah Mydin Meru Raya pada Sabtu.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Karnival Kita Anak Malaysia (KAMI) 2025 di pusat beli-belah Mydin Meru Raya di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Presiden Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Badlishah Sham Baharin.

Menurut Muhammad Kamil, kerajaan sentiasa terbuka menerima saranan rakyat, sama seperti langkah semakan semula barangan yang dikecualikan daripada cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

"Sepertimana kita dengar cadangan rakyat berkenaan SST sehingga dilakukan penambahbaikan, begitu juga dengan bantuan SARA ini," katanya.

Pada 31 Ogos lepas, kerajaan telah menyalurkan penghargaan SARA RM100 iaitu bantuan tunai sekali bayar kepada lebih 22 juta rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas yang dikreditkan ke dalam MyKad, terpakai untuk pembelian barangan keperluan berdasarkan 14 kategori produk terpilih.

Dalam pada itu, kerajaan telah menyalurkan sumbangan SARA bermula 15 Januari 2025 secara bulanan kepada 700,000 penerima miskin dan miskin tegar bagi tahun 2025.

Mengulas mengenai penganjuran program, Muhammad Kamil berkata, karnival anjuran Ikram itu berjaya menjadi wadah menyatukan masyarakat berbilang kaum dan agama.

Katanya, penganjuran karnival yang menampilkan penglibatan pertubuhan utama masyarakat Cina, India dan Orang Asli selain kerjasama agensi kerajaan serta swasta pelbagai latar belakang mengingatkan tentang kepelbagaian dalam masyarakat serta kepentingan mengukuhkan ukhuwah dan persaudaraan rakyat.

"Ini siri keempat penganjuran program KAMI dan kali ini giliran negeri Perak. Pihak penganjur memilih Mydin Meru Raya sebagai lokasi.

"Saya mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan terima kasih kepada Ikram kerana menganjurkan program yang sangat baik ini," katanya.

Lebih 62 aktiviti menarik disediakan meliputi sukan, seni budaya, persembahan pentas, pameran serta program kesihatan dengan kehadiran 5,000 pengunjung dari sekitar Ipoh dan kawasan berdekatan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!