'Sertai pasukan tentera impian arwah Irfan sejak kecil' - Ibu

Junaedah menatap gambar kenangan anaknya, Muhammad Irfan Haiqal ketika ditemui di kediamannya pada Ahad.
Junaedah menatap gambar kenangan anaknya, Muhammad Irfan Haiqal ketika ditemui di kediamannya pada Ahad.
A
A
A

IPOH - Keluarga arwah Prebet Muhammad Irfan Haiqal Abdullah, 20, yang meninggal dunia akibat lemas ketika menyertai penugasan di Pulau Mataking, Semporna, Jumaat lalu, masih terkejut dengan pemergian anak sulung mereka itu.

Ibunya, Junaedah Said, 48, berkata arwah yang mesra dipanggil 'Abang' merupakan tempat keluarga bergantung harap serta sandaran utama sejak kecil lagi.

“Sejak kecil dia memang berimpian mahu jadi askar. Walaupun bukan pelajar cemerlang, dia berjaya capai cita-citanya menyertai pasukan tentera. Saya sangat bangga dengan dia.

“Baru dua tahun berkhidmat, dia sudah merancang untuk bertukar bertugas di Ipoh supaya lebih dekat dengan kami.

"Tak sangka ‘dekat’ yang dimaksudkan itu dalam satu cara lain... kuburnya kini hanya satu kilometer dari rumah, di tepi jalan yang saya lalui setiap hari,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Kuala Pari Tengah di sini pada Ahad.

Muhammad Irfan Haiqal ditemukan lemas ketika sedang menjalankan Op Pasir Sektor Semporna Siri 3/2025.
Muhammad Irfan Haiqal ditemukan lemas ketika sedang menjalankan Op Pasir Sektor Semporna Siri 3/2025.

Junaedah yang mengusahakan kantin sekolah berkata, kali terakhir dia bertemu arwah adalah pada Jun lalu sebelum anaknya berangkat ke Sabah untuk latihan.

Katanya, sebelum berangkat, arwah sempat membelikannya sebuah motosikal terpakai serta dua telefon untuk adik dan ayahnya.

Artikel Berkaitan:

"Walaupun motosikal itu bukan baharu, saya sangat gembira. Itulah kenangan terakhir yang saya ada.

"Kali terakhir kami bercakap ialah pada Selasa lalu sekitar jam 2 petang. Dia bertanya khabar dan berpesan supaya saya jaga diri. Saya sempat puji dia nampak lain, lebih segak... dia hanya ketawa," katanya sambil menitiskan air mata.

Menurutnya lagi, arwah sering bercakap tentang hasrat mahu mengubah nasib keluarga mereka termasuk membeli rumah baharu.

"Dia mahu beli rumah sebab tahu kami hidup susah. Dia berjanji pada adik-adiknya akan bawa kami keluar daripada rumah sewa. Dia selalu kata belum sempat buat saya selesa, tetapi suatu hari nanti akan tunaikan impian itu. Itu matlamat hidupnya," kata Junaedah sebak.

Jenazah Muhammad Irfan tiba di rumah keluarganya kira-kira jam 10.45 malam sebelum dibawa ke Masjid Idrisiah Kuala Pari untuk disembahyangkan, kemudian dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuala Pari pada jam 1 pagi.

Terdahulu, media melaporkan kejadian berlaku ketika arwah dan seorang lagi anggota, Prebet Muhammad Zulkarnain Jaffar, 27, daripada Kompeni 5, Batalion 5 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) sedang menjalankan Op Pasir Sektor Semporna Siri 3/2025.

Dalam insiden tersebut, Muhammad Irfan ditemukan lemas manakala rakannya masih hilang dan operasi mencari giat dijalankan.

End

Ringkasan AI

  • Keluarga Prebet Muhammad Irfan Haiqal Abdullah terkejut dengan pemergian anak sulung mereka akibat lemas ketika bertugas di Pulau Mataking, Semporna
  • Sejak kecil, Muhammad Irfan bercita-cita menjadi askar dan berkhidmat dalam pasukan tentera walaupun bukan pelajar cemerlang
  • Muhammad Irfan telah merancang untuk bertugas lebih dekat dengan keluarga di Ipoh sebelum pemergiannya
  • Dia meninggalkan kenangan terakhir kepada keluarganya berupa motosikal terpakai dan dua telefon sebelum berangkat ke Sabah untuk latihan
  • Muhammad Irfan bercita-cita mengubah nasib keluarganya dengan membeli rumah baru dan membawa mereka keluar dari rumah sewa

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!