Isu tanah, pampasan jejas kelancaran projek WCE jajaran Tanjong Karang

Suee Lim (kanan) meninjau kerja-kerja menaik taraf saliran longkang di persimpangan U Jalan FR5 berhampiran SK Sungai Leman, pada Ahad.
Suee Lim (kanan) meninjau kerja-kerja menaik taraf saliran longkang di persimpangan U Jalan FR5 berhampiran SK Sungai Leman, pada Ahad.
A
A
A

SABAK BERNAM - Projek pembinaan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) masih berdepan cabaran di jajaran Tanjong Karang sepanjang 10 kilometer (km) yang melibatkan isu pengambilan tanah dan pampasan.

Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim berkata, walaupun keseluruhan projek menunjukkan perkembangan positif, jajaran itu masih tertangguh kerana isu teknikal dan undang-undang.

"Pelaksanaan projek WCE di jajaran itu tersangkut kerana ada isu tanah dan pampasan yang masih di peringkat akhir.

"Saya difahamkan ia kini hampir selesai, cuma perlu disegerakan kerana ramai penduduk sekitar Anjung Utara iaitu seperti Sekinchan, Sabak Bernam dan Tanjong Karang berharap laluan ini siap segera," katanya

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan pemantauan kerja-kerja menaik taraf saliran longkang di persimpangan U Jalan Persekutuan 5 (FR5) berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Leman di sini pada Ahad.

Suee Lim memberitahu, sekiranya jajaran itu disiapkan, pengguna dari Shah Alam atau Petaling Jaya menuju ke utara dapat mengelak kesesakan teruk di laluan Kuala Selangor, Pasir Penambang dan Tanjong Karang yang dipenuhi kira-kira enam lampu isyarat.

"Pernah saya alami sendiri, perjalanan dari Shah Alam ke Sekinchan mengambil masa lebih tiga jam setengah ketika musim cuti panjang, namun jika WCE siap, masalah ini boleh diatasi,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan berkata, kerajaan negeri sudah meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyelaras kawalan trafik di persimpangan utama kawasan itu terutama ketika musim perayaan dan cuti sekolah bagi memastikan aliran trafik lebih lancar.

Mengulas kemajuan projek WCE, Suee Lim berkata, pembinaan lebuh raya itu kini berada pada tahap kira-kira 60 hingga 70 peratus bagi jajaran Tanjong Karang, manakala keseluruhan lebuh raya dijangka siap sepenuhnya menjelang pertengahan hingga akhir 2026.

Artikel Berkaitan:

"Kita minta LLM (Lembaga Lebuhraya Malaysia) dan pihak konsesi WCE percepatkan kerja-kerja agar pengguna jalan raya tidak terus berdepan kesesakan," tegas beliau.

Ditanya mengenai kerja-kerja menaik taraf sistem saliran longkang besar FR5, Suee Lim berkata, projek itu berjalan lancar dengan peruntukan berjumlah RM500,000.

Katanya, projek itu penting bagi memastikan aliran air lebih lancar terutama ketika musim hujan sekali gus mengurangkan risiko banjir kilat di kawasan berkenaan.

“Sebelum ini longkang FR5 tidak tersusun dan menjejaskan aliran air, namun peruntukan sudah disalurkan dengan kerja-kerja sedang disempurnakan.

"Saya harap kontraktor mematuhi spesifikasi, menjaga kualiti kerja dan mengutamakan keselamatan kerana laluan ini tumpuan utama yang semakin sibuk dengan kenderaan, termasuk pengguna WCE," katanya.

Beliau memberitahu, kerja-kerja itu turut dilakukan pada musim cuti panjang sempena sambutan Hari Malaysia yang menyaksikan jumlah kenderaan bertambah, selain meminta aspek keselamatan diberi perhatian sepenuhnya.

Katanya, kerajaan negeri dan Persekutuan sentiasa berusaha memastikan prasarana dan kemudahan rakyat diberi keutamaan tanpa mengira kawasan atau latar belakang penduduk.

"Projek naik taraf bukan hanya tertumpu di pekan atau kawasan tertentu, sebaliknya turut dilaksanakan di kampung Melayu, kawasan Cina dan India.

"Sebagai wakil rakyat, tanggungjawab kita ialah memastikan pembangunan adil untuk semua," tambah beliau.

Ringkasan AI

  • Projek Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) jajaran Tanjong Karang menghadapi cabaran isu pengambilan tanah dan pampasan
  • Keseluruhan projek WCE menunjukkan perkembangan positif tetapi jajaran Tanjong Karang masih tertangguh akibat isu teknikal dan undang-undang
  • Jika jajaran Tanjong Karang siap, ia akan mengurangkan kesesakan lalu lintas dari Shah Alam atau Petaling Jaya menuju ke utara
  • Pembinaan lebuh raya WCE dijangka siap sepenuhnya menjelang pertengahan hingga akhir 2026
  • Projek menaik taraf saliran longkang di persimpangan U Jalan Persekutuan 5 dengan peruntukan RM500,000 untuk mengurangkan risiko banjir kilat

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!