Semua bentuk keganasan, fitnah politik wajib ditolak - Pemuda Amanah

SHAH ALAM - Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) menegaskan semua bentuk keganasan atau fitnah politik berkaitan isu Kampung Sungai Baru wajib ditolak tanpa kompromi.
Naib Ketuanya, Faris Arriffin berkata, reformasi undang-undang juga perlu disegerakan bagi mengelakkan krisis seperti Kampung Sungai Baru terus berulang.
“Pemuda Amanah Wilayah Persekutuan mengecam sekeras-kerasnya tindakan provokasi, termasuk insiden kecederaan Ketua Polis Daerah Dang Wangi baru-baru ini yang terjadi sewaktu operasi pengosongan rumah mengikut perintah mahkamah.
“Hak berhimpun dan membantah mesti dalam lingkungan undang-undang dan tanpa kebencian atau fitnah.
“Kami menyokong penuh seruan Perdana Menteri supaya pelaku keganasan disiasat dan dihadapkan ke muka pengadilan, agar proses demokrasi terus terpelihara serta imej perjuangan rakyat tidak dicemari,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Sebelum ini, media melaporkan insiden ketika operasi pengosongan tersebut menyaksikan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman mengalami kecederaan di kepala selepas berlaku kekecohan.
Susulan itu, tiga lelaki ditahan dipercayai terlibat dalam insiden tersebut.
Operasi pengosongan itu melibatkan writ milikan kosong terhadap 26 hak milik individu merangkumi 37 unit rumah teres di kawasan terbabit, dengan kerjasama antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan beberapa agensi penguatkuasa.
Faris berkata, isu Kampung Sungai Baru mencerminkan kelemahan Akta Pengambilan Tanah 1960 dan keperluan memperkukuh mekanisme sedia ada dari segi rundingan pampasan, ketelusan serta pemantauan ketirisan.
Menurut beliau, pihaknya turut menyokong penuh hasrat kerajaan untuk menilai, mereformasi akta dan dasar berkaitan pembangunan, supaya lebih telus serta adil untuk generasi akan datang.
“Suara majoriti lebih 85 peratus telah jelas, namun hak minoriti wajib dipertahan secara adil. Jurang pampasan mesti diperbaiki berdasarkan penilaian bebas dan telus supaya tiada penindasan.
“Kampung Sungai Baru ialah cermin ujian moral dan kematangan Malaysia Madani iaitu gabungan kebijaksanaan konsensus majoriti dengan keadilan saksama buat semua,” ujarnya.
Ringkasan AI
- Pemuda Amanah Negara menolak semua bentuk keganasan atau fitnah politik berkaitan isu Kampung Sungai Baru
- Perlu ada reformasi undang-undang untuk mengelakkan krisis berulang
- Mengecam tindakan provokasi dan kecederaan Ketua Polis Daerah Dang Wangi dalam insiden pengosongan rumah
- Menyokong seruan Perdana Menteri supaya pelaku keganasan disiasat dan dihadapkan ke muka pengadilan
- Isu Kampung Sungai Baru mencerminkan kelemahan Akta Pengambilan Tanah 1960 dan keperluan memperbaiki mekanisme pampasan, ketelusan serta pemantauan ketirisan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

