Lelaki ditahan kes video hasutan, aibkan Agong

SHAH ALAM - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seorang lelaki bagi siasatan berhubung video berunsur hasutan dan mengaibkan Yang di-Pertuan Agong serta Raja-Raja Melayu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, siasatan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bahagian D5 JSJ Bukit Aman ke atas satu video tular di aplikasi TikTok melalui pautan https://www.tiktok.com/@muhammad.bin.abdu969.
Menurutnya, lelaki tempatan berusia 41 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan.
"Semakan lanjut mendapati suspek memiliki rekod lampau melibatkan satu kes narkotik dan tiga kes jenayah.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, PDRM menegaskan bahawa tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang menyalahgunakan platform media sosial untuk menyebarkan kenyataan berunsur hasutan, mengaibkan atau sebarang bentuk provokasi menggugat ketenteraman awam serta keselamatan negara.
Tambahnya, orang ramai dinasihatkan agar lebih bertanggungjawab dalam menggunakan media sosial serta sentiasa menghormati undang-undang yang berkuat kuasa.
Ringkasan AI
- Polis Diraja Malaysia menahan seorang lelaki atas video hasutan mengaibkan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu
- Siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman melalui video tular di TikTok
- Lelaki berusia 41 tahun ditahan untuk membantu siasatan
- Suspek memiliki rekod lampau melibatkan kes narkotik dan jenayah
- Kes disiasat di bawah Akta Hasutan, Kanun Keseksaan, dan Akta Komunikasi dan Multimedia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
