Polis tahan tiga lelaki kes ugutan, hasutan

KUALA LUMPUR – Tiga lelaki termasuk seorang warga emas ditahan untuk siasatan kes hasutan dan ugutan jenayah.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar S Muthuvelu berkata, siasatan dilakukan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian D5 JSJ sebaik menerima laporan berhubung tiga kes itu sejak Isnin hingga Jumaat.
"Tangkapan pertama membabitkan seorang lelaki berusia 35 tahun yang menggunakan akaun facebook 'Jibbie Sahaq' disyaki memuat naik komen berbaur hasutan serta ugutan terhadap pemimpin negara.
“Kes kedua pula melibatkan seorang lelaki berusia 69 tahun yang menyampaikan ucapan berunsur hasutan dan ugutan jenayah dalam insiden di Kampung Sungai Baru di sini pada Khamis. Suspek turut ditahan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Kumar berkata, seorang lagi lelaki berusia 27 tahun turut ditahan selepas akaun facebook 'Ayien Rose' disyaki memuat naik ugutan terhadap pemimpin negara selain kenyataan yang boleh mencetuskan kegentaran awam.
“Ketiga-tiga kes disiasat mengikut Akta Hasutan 1948, Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” ujarnya.
Kumar menegaskan, polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menggunakan media sosial untuk menyebarkan hasutan, ugutan atau provokasi yang boleh menjejaskan ketenteraman awam dan keselamatan negara.
"Orang ramai dinasihatkan agar lebih berhemah menggunakan platform digital dan sentiasa menghormati undang-undang," katanya.
Ringkasan AI
- Tiga lelaki termasuk seorang warga emas ditahan untuk siasatan kes hasutan dan ugutan jenayah
- Siasatan dilakukan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, JSJ Bukit Aman berikutan laporan yang diterima
- Seorang lelaki 35 tahun ditahan kerana menggunakan akaun Facebook untuk memuat naik komen hasutan terhadap pemimpin negara
- Seorang lelaki berusia 69 tahun ditahan kerana menyampaikan ucapan berunsur hasutan dan ugutan jenayah
- Kes disiasat mengikut Akta Hasutan 1948, Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
