Protes berskala besar landa Perancis

Sebuah jalan berhampiran Place des Fêtes, Paris terhalang akibat kebakaran yang dinyalakan penunjuk perasaan ketika demonstrasi.
Sebuah jalan berhampiran Place des Fêtes, Paris terhalang akibat kebakaran yang dinyalakan penunjuk perasaan ketika demonstrasi.
A
A
A

PARIS – Perdana Menteri baharu Perancis, Sebastien Lecornu berikrar membawa 'perubahan besar' dalam pentadbiran negara selepas dilantik menggantikan Francois Bayrou yang tumbang akibat undi tidak percaya di Parlimen, pada Selasa lalu.

Pelantikan Lecornu, 39, yang juga sekutu rapat Presiden Emmanuel Macron, dibuat ketika Perancis bergolak dengan siri protes jalanan yang tercetus di seluruh negara pada hari pertamanya memegang jawatan.

Protes yang digerakkan menerusi media sosial dengan slogan 'block everything' (sekat semuanya) menyaksikan sebanyak 197,000 orang membanjiri jalan raya di beberapa bandar utama, mengatasi jumlah kehadiran perhimpunan Hari Buruh pada 1 Mei lalu.

Penunjuk perasaan dilihat duduk di atas sebuah kontena di Place des Fêtes, Paris ketika menyertai demonstrasi 'block everything'.
Penunjuk perasaan dilihat duduk di atas sebuah kontena di Place des Fêtes, Paris ketika menyertai demonstrasi 'block everything'.

Menurut Kementerian Dalam Negeri Perancis, sebanyak 540 tangkapan dibuat dan 415 individu ditahan sementara 80,000 anggota keselamatan dikerah mengawal keadaan.

Seorang penunjuk perasaan dikejarkan ke hospital selepas terkena gas pemedih mata, manakala 16 anggota polis dilaporkan cedera ringan.

“Kami mahukan perkhidmatan awam yang berfungsi, cukai lebih kepada golongan kaya, kurang kepada yang miskin serta pengagihan kekayaan yang adil,” kata seorang pekerja sosial, Jean-Baptiste, 30, ketika ditemui di Paris.

Lecornu, yang sebelum ini memegang portfolio Menteri Pertahanan, berikrar untuk bekerjasama dengan parti pembangkang melalui pendekatan lebih kreatif bagi memastikan kelulusan bajet negara 2026.

Artikel Berkaitan:

“Kita akan berjaya,” katanya dalam ucapan rasmi penyerahan kuasa daripada Bayrou, 74.

Tekanan politik

Sejak Macron membubarkan Parlimen tahun lalu, kerajaan tidak mempunyai majoriti di Dewan Perhimpunan Nasional, menyebabkan setiap pentadbiran berdepan risiko undi tidak percaya.

Parti sayap kiri tegar, France Unbowed segera mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Lecornu, walaupun belum mendapat sokongan parti lain.

Sementara itu, Parti National Rally pimpinan Jordan Bardella, 29, enggan menjatuhkan kerajaan baharu dalam masa terdekat tetapi memberi amaran bahawa mereka mahu melihat dasar berbeza daripada pentadbiran sebelumnya.

“Jika tiada perubahan, maka akan ada kecaman,” tegas Bardella.

Protes masih membara

Walaupun majoriti perkhidmatan kereta api berkelajuan tinggi dan metro Paris beroperasi seperti biasa, banyak sekolah ditutup, jalan raya serta stesen kereta api dihalang penunjuk perasaan.

Penunjuk perasaan memegang kain rentang bertulis “Bebaskan tahanan” ketika demonstrasi di Bayonne, barat daya Perancis.
Penunjuk perasaan memegang kain rentang bertulis “Bebaskan tahanan” ketika demonstrasi di Bayonne, barat daya Perancis.

Di ibu kota, polis bertempur dengan kumpulan yang membina penghadang dan membaling sampah ke arah anggota keselamatan. Sebuah restoran turut terbakar dipercayai berpunca daripada operasi kawalan polis.

Di Lyon, seorang penunjuk perasaan yang hanya mahu dikenali sebagai Florent menyifatkan pelantikan sekutu rapat Macron sebagai 'tamparan kepada rakyat'.

“Kami mahukan perubahan,” katanya.

Bayrou sebelum ini mencadangkan pemotongan perbelanjaan awam sebanyak 44 bilion euro (RM218 bilion) untuk mengurangkan hutang negara, tetapi langkah itu ditolak keras oleh rakyat yang menuduhnya mementingkan golongan kaya.

Lecornu kini berdepan cabaran getir menjadi Perdana Menteri ketujuh sejak Macron memegang jawatan pada 2017, dan yang ketiga dalam tempoh setahun bagi menstabilkan politik negara serta memulihkan keyakinan rakyat.-AFP

 

 

Ringkasan AI

  • Sebastien Lecornu dilantik sebagai Perdana Menteri baru Perancis menggantikan Francois Bayrou
  • Lecornu berikrar membawa perubahan besar dalam pentadbiran negara
  • Protes besar-besaran di Perancis dengan slogan 'block everything' menarik 197,000 peserta
  • Sebanyak 540 tangkapan dibuat dan 415 individu ditahan dalam protes
  • Lecornu menghadapi cabaran sebagai Perdana Menteri ketujuh sejak Macron memegang jawatan pada 2017

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!