Tuntutan mansuh matrikulasi sikap tidak inklusif – GPMS

SHAH ALAM –Tuntutan oleh pertubuhan pelajar University of Malaya Association of New Youth (UMANY) untuk memansuhkan program matrikulasi sebagai laluan ke universiti awam disifatkan sebagai tidak inklusif dan menafikan prinsip keadilan dalam sistem pendidikan negara.
Setiausaha Agung Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Wafiy Musa berkata, cadangan UMANY agar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dijadikan laluan tunggal ke universiti jelas mengetepikan kepelbagaian pilihan yang wajar diberikan kepada para pelajar.
“Sejak diperkenalkan pada tahun 1998, program matrikulasi telah terbukti sebagai satu mekanisme persediaan akademik yang efektif — bukan sahaja dari aspek penguasaan ilmu asas dalam bidang sains, matematik dan kemahiran insaniah, tetapi juga sebagai platform melahirkan pelajar yang kompetitif dan berdaya saing di peringkat universiti.
“Justeru, dakwaan bahawa matrikulasi tidak setara dengan STPM adalah tidak berasas, malah menafikan pencapaian ribuan graduan yang telah melalui sistem ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Menurutnya, penilaian dalam matrikulasi dilaksanakan secara adil berdasarkan silibus yang diluluskan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi, melibatkan kombinasi antara peperiksaan akhir dan kerja kursus.
“Kaedah ini menzahirkan pendekatan holistik yang mengukur kebolehan pelajar secara lebih menyeluruh berbanding penilaian tunggal yang bergantung kepada peperiksaan bertulis semata-mata,” katanya.
Tambahnya, perbezaan dalam bentuk penilaian tidak sewajarnya dijadikan hujah untuk meremehkan program matrikulasi kerana akhirnya semua pelajar — sama ada daripada STPM atau matrikulasi — akan dinilai mengikut piawaian akademik yang seragam di institusi pengajian tinggi awam mahupun swasta.
“GPMS juga menegaskan bahawa laluan masuk ke institusi pengajian tinggi merupakan pilihan individu berdasarkan kecenderungan, kemampuan serta matlamat akademik masing-masing.
“Kami percaya bahawa dakwaan tersebut adalah pra-matang dan tidak melambangkan sebuah persatuan mahasiswa yang sepatutnya mengangkat hak kepada pendidikan dari segenap aspek,” ujarnya.
GPMS turut mengingatkan UMANY agar berperanan sebagai badan mahasiswa yang mendidik masyarakat dengan pemikiran yang lebih rasional dan konstruktif, bukannya mengkritik sistem pendidikan semata-mata untuk meraih populariti melalui kes terpencil.
Pada masa sama, GPMS turut mendesak kerajaan Madani agar melaksanakan sistem sekolah satu aliran serta membuat pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan yang disifatkan menyekat agenda kebersamaan negara.
Ringkasan AI
- Tuntutan UMANY untuk memansuhkan program matrikulasi ditentang kerana tidak inklusif dan menafikan prinsip keadilan
- Cadangan agar STPM dijadikan laluan tunggal ke universiti mengetepikan kepelbagaian pilihan bagi pelajar
- Program matrikulasi dilihat efektif sebagai mekanisme persediaan akademik sejak diperkenalkan pada tahun 1998
- Penilaian dalam matrikulasi dilakukan secara adil dengan kombinasi peperiksaan akhir dan kerja kursus
- GPMS menekankan bahawa pilihan laluan masuk ke institusi pengajian tinggi adalah hak individu berdasarkan kecenderungan dan matlamat akademik
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
