Banjir kilat landa bangunan Lili, Hospital Sultanah Aminah

Ruang menunggu di bangunan Lili, HSA yang dinaiki air pada petang Khamis.
Ruang menunggu di bangunan Lili, HSA yang dinaiki air pada petang Khamis.
A
A
A

JOHOR BAHRU – Hujan lebat hampir empat jam sejak jam 2 petang pada Khamis, menyebabkan banjir kilat di Bangunan Lili, Hospital Sultanah Aminah (HSA).

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon berkata, berdasarkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Johor Bahru, jumlah hujan yang direkodkan melebihi 70 milimeter sebelum air mulai surut sekitar jam 6.30 petang.

“Berdasarkan analisis dan pemerhatian di lapangan, faktor utama banjir kilat itu adalah kerana aras bangunan lebih rendah serta kedudukannya di kawasan cerun.

"Situasi itu menyebabkan air hujan mengalir deras dari jalan raya seolah-olah ‘air terjun mini’ memasuki bangunan berkenaan,” katanya.

Tian Soon (kanan) melawat kawasan HSA yang terjejas banjir.
Tian Soon (kanan) melawat kawasan HSA yang terjejas banjir.

Sebelum itu, beliau bersama Pengarah JPS Johor dan Jurutera Daerah JPS Johor Bahru telah turun padang meninjau kawasan yang terjejas banjir di HSA pada petang Khamis.

Jelas Tian Soon, JPS akan mencadangkan pembinaan satu longkang kecil di bahu jalan berhampiran untuk mengalirkan air terus ke sistem perparitan sedia ada.

“Pihak JPS akan berhubung dengan pihak hospital pada Jumaat bagi tindakan lanjut,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, tular video di media sosial memaparkan kawasan bangunan Lili, HSA, di sini mula dinaiki air pada kira-kira jam 5.50 petang.

Kelihatan beberapa kakitangan hospital itu sedang berusaha membawa keluar barangan dan peralatan hospital, serta motosikal.

Ringkasan AI

  • Hujan lebat selama hampir empat jam menyebabkan banjir kilat di Bangunan Lili, Hospital Sultanah Aminah
  • Jumlah hujan yang direkodkan melebihi 70 milimeter sebelum air surut
  • Banjir kilat disebabkan oleh kedudukan bangunan yang lebih rendah dan di kawasan cerun
  • JPS mencadangkan pembinaan longkang kecil di bahu jalan untuk mengalihkan air
  • Video tular memaparkan kawasan bangunan Lili, HSA di sini mula dinaiki air

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!