Dua remaja terlibat kes buli jalan raya ditahan

Tangkap layar rakaman tular memaparkan dua remaja lelaki yang terlibat dengan kes buli jalan raya.
Tangkap layar rakaman tular memaparkan dua remaja lelaki yang terlibat dengan kes buli jalan raya.
A
A
A

JOHOR BAHRU – Dua remaja lelaki ditahan selepas dipercayai terbabit dalam kejadian pergaduhan dengan seorang pemandu lori di tepi jalan yang tular di media sosial, sejak Isnin.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, rakaman insiden dalam tempoh 44 saat itu dimuat naik menerusi satu akaun Facebook sebelum dikesan pihak polis.

“Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku di kawasan Ulu Tiram pada 11 Mei sekitar jam 1.30 petang yang dipercayai berpunca daripada perselisihan faham berikutan tindakan pemandu lori yang menukar laluan secara tiba-tiba serta lewat memberi isyarat lampu.

"Susulan itu, tangkapan ke atas dua lelaki tempatan berusia antara 18 hingga 21 tahun telah dibuat pada 12 Mei, kira-kira jam 4.30 petang di lokasi yang sama," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan, pihaknya turut merampas sebatang kayu cota yang dipercayai digunakan salah seorang suspek bagi mengugut mangsa.

Tambah Mohd Sohaimi, semakan lanjut mendapati salah seorang daripada suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau, namun kedua-duanya didapati negatif dadah selepas ujian air kencing dijalankan.

Ujarnya, kedua-dua suspek kini ditahan reman selama empat hari bermula 13 Mei hingga 16 Mei ini bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana menakutkan secara jenayah yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

"Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian yang boleh dikenakan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya sekali," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!