DUN Perak lulus pindaan Enakmen Pentadbiran Agama Islam

IPOH - Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak meluluskan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Pentadbiran Agama Islam (Perak) (Pindaan) 2025 sebulat suara tanpa dibahas pada Khamis.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad memaklumkan RUU itu dicadangkan selaras dengan penggubalan RUU Enakmen Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam (Perak) 2025 yang baharu diluluskan pada Rabu.
Katanya, pindaan yang dicadangkan bertujuan memastikan tiada pertindihan peruntukan yang sama berhubung sekolah agama Islam dalam dua undang-undang yang berbeza di samping memastikan undang-undang yang lebih selaras serta dapat dilaksanakan tanpa sebarang konflik.
"Dalam RUU ini beberapa pindaan telah dibuat kepada Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004. Pindaan berkenaan melibatkan Seksyen 109 dan Subseksyen 111(2).
"Pindaan RUU Pentadbiran ini adalah bersifat pindaan berbangkit dengan dikeluarkan peruntukan berkaitan kuasa Majlis mendaftarkan sekolah serta kuasa membuat peraturan-peraturan berhubung pentadbiran sekolah dan aktiviti berkaitan pengajaran agama Islam.
"Peruntukan enakmen pentadbiran yang dikeluarkan itu ditambah baik dan dikandungkan menjadi sebahagian daripada peruntukan dalam RUU Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam yang baharu," katanya ketika membentang RUU tersebut sempena Sidang DUN Perak.
Saarani berkata, kedua-dua peruntukan itu dikeluarkan daripada Enakmen Pentabdiran Agama Islam (Perak) 2004 kerana Enakmen Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam 1996 yang dirujuk tidak terpakai lagi dan termansuh dengan berkuatkuasanya Enakmen Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam (Perak) yang baharu.
Menurutnya, cadangan pindaan itu telah dibincangkan bersekali dengan RUU Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam (Perak) 2025 dalam mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Penggubalan serta diangkat dalam Jawatankuasa Penggubalan Undang-Undang Syariah Negeri Perak.
Katanya, perkara itu juga telah dibentangkan kepada Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak pada 25 Jun 2025 dan diluluskan sebelum diangkat dan diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bagi membolehkan ia dibentang di dalam DUN.
Selepas dibentangkan dan dibuat undian, RUU tersebut kemudiannya diluluskan sebulat suara tanpa perbahasan.
Dalam pada itu, DUN Perak turut meluluskan usul melantik Dr Mohamad Yusri Bakir (BN-Ayer Kuning) sebagai ahli Jawatankuasa Kebajikan Ahli yang dibawa oleh wakil kerajaan Mohd Azlan Helmi (PH-Tualang Sekah).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

