Pindaan undang-undang lapuk bagi kawalan rasuah

Pindaan undang-undang lapuk berperanan besar dalam memperkukuh kawalan terhadap rasuah terutama dalam era digital dan rentas sempadan kini. Gambar hiasan (Gambar kecil: Zalmizy)
Pindaan undang-undang lapuk berperanan besar dalam memperkukuh kawalan terhadap rasuah terutama dalam era digital dan rentas sempadan kini. Gambar hiasan (Gambar kecil: Zalmizy)
A
A
A

SHAH ALAM - Pindaan undang-undang lapuk berperanan besar dalam memperkukuh kawalan terhadap rasuah terutama dalam era digital dan rentas sempadan kini.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial, Universiti Utara Malaysia, Sintok, Dr Zalmizy Hussin berkata, langkah berkenaan bukan sahaja menutup kelompongan sedia ada dalam perundangan tetapi juga menyesuaikan sistem dengan bentuk-bentuk rasuah moden yang lebih kompleks.

"Dalam sektor awam, pindaan undang-undang boleh mewajibkan pengisytiharan aset secara berkala dan terbuka oleh penjawat awam, termasuk ahli politik dan pegawai tertinggi kementerian.

"Ini akan membolehkan pemantauan yang lebih efektif serta memudahkan pengesanan gaya hidup yang tidak sepadan dengan pendapatan,"katanya kepada Sinar Harian.

Beliau yang merupakan pakar kriminologi berkata, tambahan lagi, akta berkaitan pengurusan perolehan kerajaan boleh dipinda untuk menetapkan ketelusan menyeluruh dalam pemberian kontrak seperti pendedahan senarai penerima projek, nilai kontrak, dan kaedah pemilihan secara terbuka di portal awam.

"Dalam sektor swasta pula, pindaan terhadap Akta SPRM 2009 seperti yang dilakukan pada Seksyen 17A, yang memperkenalkan liabiliti korporat terhadap rasuah dalam syarikat adalah satu langkah penting.

"Namun, perkara itu perlu diperluas lagi, contohnya dengan mensyaratkan semua syarikat bersaiz sederhana dan besar mengguna pakai polisi antirasuah dalaman yang boleh diaudit oleh pihak ketiga secara berkala.

"Selain itu, perlindungan kepada pemberi maklumat juga perlu diperkasakan melalui pindaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 supaya mereka benar-benar dilindungi daripada tindakan balas, termasuk daripada majikan mereka sendiri—sama ada di sektor awam mahupun swasta,"katanya.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, akhir sekali, undang-undang sedia ada yang bersifat lapuk perlu dipinda untuk membolehkan kerjasama yang lebih mudah antara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dan agensi antarabangsa bagi menyiasat dan menjejak aliran wang haram ke luar negara.

"Ia kerana banyak kes rasuah berskala besar melibatkan akaun luar pesisir dan entiti 'shell company'.

"Tanpa pindaan undang-undang yang agresif, sistem kita akan terus terperangkap dalam peraturan lapuk yang gagal menangani kecanggihan modus operandi rasuah hari ini.

"Maka jelas, pindaan undang-undang bukan soal teknikal semata-mata, tetapi asas utama kepada reformasi struktur yang tulen dan menyeluruh dalam perang melawan rasuah,"katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!