Perakam video, tuan rumah pertikai Perintah Kawalan Pergerakan ditahan polis

Rozi memeriksa kenderaan pada operasi sekatan jalan di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent di sini tadi.
Rozi memeriksa kenderaan pada operasi sekatan jalan di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent di sini tadi.
A
A
A

ALOR SETAR - Dua individu ditahan demi membantu siasatan berhubung video tular memaparkan tindakan seorang individu merakamkan video mempertikai Perintah Kawalan Pergerakan di Langgar, di sini petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, dua lelaki terdiri daripada perakam video dan tuan rumah kenduri ditahan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah selepas menerima maklumat.

Beliau berkata, dua suspek masing-masing berusia antara 49 dan 60 tahun ditahan di dua kediaman berasingan dalam serbuan berkenaan di Langgar, Mukim Telaga Mas, Pokok Sena lebih kurang jam 7.15 petang hari ini.

"Berdasarkan siasatan, majlis kenduri kepala kambing yang menjadi tular diadakan kira-kira jam 12 tengah hari pada hari pertama pelaksanaan perintah pada 18 Mac lepas.

ARTIKEL BERKAITAN: Polis cari lelaki pertikai Perintah Kawalan Pergerakan

"Majlis berkenaan dianjurkan seorang individu dikenali dengan nama panggilan Ayah Tahir di sebuah kampung di Langgar dihadiri antara 25 hingga 30 kenalan tuan rumah berusia antara lingkungan 20 hingga 60 an," katanya.

Beliau berkata sedemikian pada sidang media selepas operasi sekatan jalan di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent di sini tadi.

Katanya, setakat ini, jemputan majlis kenduri berkenaan didapati dalam keadaan baik dan tiada tanda-tanda sakit ataupun demam.

Artikel Berkaitan:

"Susulan itu, seunit telefon bimbit jenama IPhone 6 dirampas dan ujian saringan air kencing dijalankan menunjukkan kedua-dua suspek negatif dadah," katanya.

Beliau berkata, kes berkenaan disiasat dibawah Seksyen 3 (2) PPPB (Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) 2020/7(1) PPPB 2020.

"Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM1,000 ataupun dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali," katanya.

Malah, katanya, individu terbabit boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun ataupun denda ataupun kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan dibawah Seksyen 270 Kanun Keseksaan.

"Bagi kesalahan dibawah Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia Malaysia (AKMM), individu terbabit boleh didenda tidak melebihi RM50,000 ataupun dipenjarakan selama tepoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-dua sekali.

"Malah, individu terbabit hendaklah juga boleh didenda selanjutnya RM1000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan hingga selepas pensabitan kes," katanya.

Hari ini, Sinar Harian melaporkan polis memohon orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan video tular seorang lelaki mempertikai PKP diumumkan kerajaan berkuatkuasa 18 hingga 31 Mac depan.

Video berdurasi 57 saat memaparkan lelaki itu sedang merakam suasana di sebuah rumah yang didatangi orang ramai sambil menikmati hidangan berasaskan kambing termasuk kepalanya.

Terdahulu, Rozi turut melakukan pemeriksaan keatas kenderaan dalam operasi sekatan jalan itu.