Lebuh Raya WISE dimulakan selepas 2026

Mohammad Nizar menjawab soalan lisan Nga Kor Ming (PH - Kepayang) pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Khamis. Foto: ihsan Urusetia DUN Perak
Mohammad Nizar menjawab soalan lisan Nga Kor Ming (PH - Kepayang) pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Khamis. Foto: ihsan Urusetia DUN Perak
A
A
A

IPOH - Projek pembinaan Lebuh Raya West Ipoh Span Expressway (WISE) akan dimulakan selepas syarikat konsesi mematuhi syarat duluan yang dimuktamadkan pada 2026.

Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, pembinaan lebuh raya itu akan dilaksanakan secara penswastaan selepas perjanjian konsesi telah ditandatangani pada 5 September 2024.

Menurut beliau, pembinaan WISE dan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) membantu merancakkan pembangunan lima projek mega Perak.

"Lebuh raya WISE dan WCE yang dibina sebagai laluan alternatif ke jajaran Terowong Menora dijangka dapat mengurangkan kesesakan Lebuhraya Utara - Selatan yang boleh merangsang pelancongan dan nilai hartanah di bandar.

"Selain itu, ia juga merancakkan industri pengangkutan serta pembangunan mega antaranya Lembah Automotif Berteknologi Tinggi (AHTV) dan Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Nga Kor Ming (PH - Kepayang) pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Khamis.

Mohammad Nizar berkata, kerajaan negeri juga telah menubuhkan Jawatankuasa Pertumbuhan Ekonomi di sepanjang 139.2 kilometer jajaran WCE.

"Dengan pembinaan Lebuhraya WCE, ia diyakini memberi impak dan potensi pertumbuhan sosio-ekonomi yang amat besar dan positif khususnya lima daerah yang menerima kesan langsung iaitu Daerah Bagan Datuk, Daerah Hilir Perak, Daerah Perak Tengah, Daerah Manjung serta Daerah Larut, Matang dan Selama.

"Peningkatan sektor ekonomi dan kebolehcapaian akses laluan ini seterusnya akan mencetus kepada pertumbuhan bandar-bandar baharu," katanya.

Artikel Berkaitan:

 

 

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!