Makin ramai pelanggan batal polisi insurans kesihatan

Semakin ramai membatalkan polisi insurans perubatan kerana beban kewangan. - Gambar hiasan
Semakin ramai membatalkan polisi insurans perubatan kerana beban kewangan. - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Jumlah pemegang polisi yang membatalkan insurans kesihatan susulan kenaikan harga premium insurans menunjukkan peningkatan ketara.

Pengurus agensi takaful yang mahu dikenali sebagai Sharipudin berkata, pertambahan itu mula berlaku sejak perhujung tahun lalu sehingga kini.

“Ramai yang tamatkan polisi masing-masing atas alasan tidak mampu lagi hendak membayar kenaikan premium insurans.

“Mereka beri alasan gaji tidak naik tetapi harga insurans terus meningkat. Itulah antara sebab yang diberikan mereka.

“Keadaan ini juga turut memberi kesan kepada syarikat termasuk ejen atau perunding takaful kerana pendapatan mereka juga bergantung kepada pelanggan yang ada,” katanya kepada Sinar Harian.

Sharipudin berkata, kebanyakan individu yang membatalkan polisi insurans terdiri daripada mereka yang telah lama mencarum, situasi yang disifatkannya amat merugikan tetapi pelanggan tiada pilihan kerana beban kos.

Seorang lagi perunding takaful, Firdaus berkata, masalah sama turut membelenggu dirinya apabila semakin ramai pemegang polisi menamatkan pembiayaan masing-masing.

Menurutnya, hampir separuh daripada pelanggan yang berada di bawah kendaliannya membatalkan polisi insurans, walaupun masih baharu mencarum.

“Kebanyakan mereka mengakui sedar kepentingan pelan takaful terutama bagi membiayai kos perubatan hospital yang tinggi tetapi dengan kekangan kewangan ditambah dengan kenaikan harga premium insurans membuatkan mereka tiada pilihan lain,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Pengurus Alpha Agency, Mohammad Amirul Aizat Mohamad Adnan berpandangan, tindakan segelintir pemegang polisi yang menamatkan bayaran bukan semata-mata disebabkan kenaikan harga premium insurans tetapi turut dipengaruhi faktor lain seperti masalah kewangan dihadapi syarikat tempat mereka bekerja.

“Memang ada yang menamatkan polisi mereka namun jumlah perniagaan atau pemegang polisi yang menggunakan khidmat kami tahun ini meningkat berbanding tahun lalu,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!